Tasik Harapan dan Tasik Aman yang terletak di Universiti Sains Malaysia (USM) menyimpan seribu satu rahsia ketika Pulau Pinang dilanda banjir.

Dua tasik ini berkeupayaan mencegah banjir di kawasan sekitarnya.

Menurut Pengarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) USM, Profesor Dr Nor Azazi Zakaria, Sungai Gambir yang diwujudkan sejak penubuhan USM hampir 50 tahun lalu berperanan sebagai titik transit dan kawasan tadahan air sebelum ia mengalir ke laut.

Kewujudan dua tasik ini memberi impak luar biasa dalam pelan mitigasi banjir sama ada di kampus mahu pun kawasan sekitar termasuk Sungai Dua dan Batu Uban.

Menurut Nor Azazi, Tasik Aman yang berkeluasan 0.8 hektar dan Tasik Harapan berkeluasan 0.6 hektar ini perlu dinaik taraf dan pihak USM memerlukan sokongan serta bantuan pelbagai pihak.

Antara proses menaik taraf kedua-dua tasik ini ialah meningkatkan kualiti serta warna air kepada Tahap Dua.

Keseluruhan proses ini melibatkan kos RM6 juta.

Beliau berharap pihak berwajib memberi tumpuan kepada kepentingan dua tasik yang mencetuskan impak luar biasa ketika mendepani bencana banjir seperti yang berlaku pada Ahad lalu.