KUALA LUMPUR : Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil maklum berkenaan terdapatnya perancangan untuk mengadakan perhimpunan jalanan pada 21 Ogos ini.

Sehubungan itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani menegaskan, PDRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan buat mana-mana individu yang terlibat dalam perhimpunan itu nanti.

Ini kerana, tegas beliau, perancangan itu merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan dengan jelas mengabaikan keselamatan dalam situasi semasa COVID-19.

"PDRM meminta orang ramai untuk tidak menyertai sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang serta SOP yang sedang berkuat-kuasa.

"Demi keselamatan umum, PDRM tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang dikesan masih berdegil menganjurkan atau menyertai sebarang perhimpunan dan akan mengambil tindakan tegas dalam perkara ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.