Ada yang ambil ringan arahan PKPB - Pakar kesihatan

Madiha Abdullah
November 15, 2020 10:58 MYT
PKPB bergantung sepenuhnya kepada tahap kepatuhan masyarakat terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang diberikan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Lembah Klang sepatutnya boleh menurunkan kes jangkitan COVID-19.
Namun, Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman berpendapat, situasi berbeza yang berlaku ketika ini berpunca daripada sikap masyarakat yang tidak mengambil serius arahan berkenaan.
"Ramai yang tidak sedar, PKPB bergantung sepenuhnya kepada tahap kepatuhan masyarakat terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang diberikan.
"Kalau kita semua beri komitmen sepenuhnya, mungkin tempoh PKPB boleh dipendekkan. Tetapi yang kita nampak hari ini, ada yang ambil ringan PKPB, (seolah-olah) nak ikut boleh, tak nak ikut pun tak mengapa," kata Dr Malina semasa ditemu bual dalam program Buletin AWANI.
BACA: COVID-19: KL pula rekod kes tertinggi, ini antara tumpuan kenyataan media KKM
Tambahnya, tahap kepatuhan orang ramai adalah cabaran paling besar yang perlu ditangani oleh petugas barisan hadapan kini.
"Apabila ada yang bergerak ke sana sini, perkara ini menyukarkan petugas hadapan menjalankan pengesanan.
"Cabaran utama kita hari ini ialah penerimaan dan respon masyarakat terhadap PKPB. Ini tanggungjawab kita bersama dalam masyarakat tetapi ada dalam kalangan kita yang hidup bermasyarakat tetapi tidak rasa tindakannya ada kesan kepada masyarakat," katanya lagi.
#COVID-19 #perintah kawalan pergerakan bersyarat #PKPB #Lembah Klang #jangkitan #SOP #prosedur operasi standard #petugas barisan hadapan