Tumpuan utama laporan sukan minggu ini, sudah pasti terarah kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM yang terus menegakkan hukuman kepada mereka yang melanggar Artikel 88 Statut FAM.

Selepas Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim, kini giliran Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pula berdepan hukuman daripada jawatankusa tersebut.

Namun, Tunku Ismail hanya dikenakan hukuman minima berbanding Annuar dan juga Shahidan yang digantung selama dua tahun enam bulan.

Tunku Ismail hanya dihukum gantung selama enam bulan dan hukuman denda berjumlah RM18,000.

Peminat pasti tertanya-tanya, mengapa Baginda tidak dikenakan hukuman yang lebih berat, walhal kritikannya terhadap mutu pengadilan diterbitkan beberapa akhbar arus perdana.

Penjelasan Pengerusi Jawatankuasa Tatatrtib FAM, Datuk Taufik Razak adalah kerana Tunku Ismail tidak memegang jawatan dalam FAM dan hukuman terhadap Presiden PBNJ ini, lebih mirip kepada hukuman yang pernah dikenakan kepada pengendali ATM, B Sathianathan sebelum ini.

Justeru, mungkin Tunku Ismail boleh dikatakan bernasib baik kerana sehingga saat ini, Baginda belum lagi menyandang jawatan dalam FAM selain menerajui pucuk pimpinan PBNJ.

Apa pun, persoalan lebih besar sudah pasti, adakah Artikel 88 ini masih relevan atau ia ibarat bahana kepada mana-mana pegawai yang melemparkan kritikan, meskipun membina buat FAM?

Sebelum ini, Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah bertitah, Artikel 88 hanya boleh digubal atau dimansuhkan ketika Kongres FAM oleh ahli gabungannya sendiri.

Masalahnya, ia adalah hakikat apabila tiada ahli gabungan yang berani memberi usul untuk menggubal Artikel tersebut, setiap kali Kongres FAM berlansung.

Ia adalah rahsia terbuka sebenarnya, apabila ahli gabungan lebih mengutamakan kedudukan masing-masing dalam FAM dan hanya melenting, apabila dikenakan hukuman berlandaskan Artikel 88.

Pada pengamatan saya, selepas sedekad membuat liputan bola sepak dan mempelajari "selok belok pengurusan bola sepak Malaysia" bukan saja Artikel 88 yang perlu digubal.

Banyak lagi kelemahan pengurusan di peringkat ahli gabungan negeri, serta FAM sendiri yang turut memerlukan perubahan sejajar dengan arus bola sepak moden seperti disaran Konfederasi Bola Sepak Asia, AFC dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa, FIFA.

Mungkin saya akan melontarkan cadangan terhadap perubahan yang perlu dilakukan FAM demi kemajuan bola sepak negara pada mingu-minggu akan datang.

Ketika ini, mungkin wajar buat setiap ahli gabungan negeri, memikirkan dan memutuskan, sama ada Artikel yang kerap menjadi bahana, masih diperlukan dalam arus bola sepak moden.

Salam