SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan adik kepada ahli perniagaan Nicky Liow Soon Hee daripada tuduhan mengemukakan borang nyata cukai pendapatan secara tidak betul serta terlibat dalam transaksi hasil wang haram antara tahun 2017 hingga 2020.

Hakim Norazlin Othman membebaskan Liow Wei Kin, 30, selepas peguamnya, Datuk Rajpal Singh memaklumkan tertuduh telah membayar kesemua kompaun berjumlah RM4.174 juta melibatkan lapan pertuduhan yang terhadapinya sebelum ini.

Rajpal berkata kesemua pertuduhan itu tidak boleh disempurnakan dengan hanya dibatalkan (DNAA), justeru memohon Liow dilepas dan dibebaskan dengan kesemua wang jaminan dipulangkan di samping dilepaskan daripada semua syarat jaminan.

Norazlin kemudiannya memerintah Liow dilepas serta dibebaskan dan membenarkan kesemua permohonan yang dimohon Rajpal.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syafinas Shabudin memohon kesemua pertuduhan Liow mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 itu dibatalkan.

Katanya, ia berikutan satu persetujuan penyelesaian telah dicapai melibatkan satu kadar kompaun yang dibayar pada 3 Julai lalu kepada kerajaan Malaysia.

Liow didakwa dengan tiga pertuduhan mengemukakan borang nyata cukai pendapatan secara tidak betul dengan meninggalkan pendapatan berjumlah RM2,672,500 yang boleh dikenakan cukai sebanyak RM686,376.45 bagi tiga tahun taksiran bermula 2017 hingga 2019 dan melakukan kesalahan di bawah perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000 dan dikenakan penalti khas sebanyak dua kali ganda daripada amaun cukai yang terkurang bayar.

Liow turut dituduh atas satu pertuduhan mengemukakan borang nyata cukai pendapatan yang diperuntukkan di bawah subseksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2016, tanpa alasan yang munasabah dan melakukan suatu kesalahan subseksen 112(1) akta yang sama.

Jika disabitkan dia boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagi empat lagi pertuduhan mengikut AMLATFPUAA 2001, Liow didakwa melibatkan diri secara langsung dalam transaksi melibatkan hasil daripada aktiviti haram dengan jumlah keseluruhan RM779,894.95 dan melakukan kesalahan di bawah perenggan 4(1) akta tersebut.

Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, mana lebih tinggi.

Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Petaling Jaya di Bandar Damansara Perdana, dekat sini antara 16 Mei 2017 hingga 30 Mei 2020.

-- BERNAMA