Seorang wanita maut ditikam beberapa kali menggunakan pisau oleh adiknya di sebuah rumah di Kampung Kemansur di sini, pada Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Othman Nayan berkata kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu berlaku apabila mangsa Fan Suik Moi, 56, dipercayai bertengkar dengan adik lelakinya yang berusia 55 tahun.

"Ketika kejadian, terdapat ahli keluarga lain di rumah berkenaan yang telah menghalang suspek daripada terus menikam mangsa.

"Mangsa yang cedera telah dihantar oleh jiran ke Hospital Bentong.

"Mangsa telah dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh kerana mengalami pendarahan serius akibat tikaman di badannya," kata Othman.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 6 petang, Sabtu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kejadian dan siasatan masih giat dilakukan.