ADMM-Plus: Malaysia sokong Pelan Komprehensif AS tamatkan konflik Gaza

Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN bersama Rakan Dialog (ADMM-Plus) ke-12 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia menyatakan sokongan terhadap Pelan Komprehensif yang dikemukakan oleh Amerika Syarikat bagi menamatkan konflik di Gaza, yang dilihat sebagai langkah penting ke arah keamanan dan kestabilan jangka panjang di rantau itu.
Ringkasan AI
- Malaysia sokong Pelan Komprehensif AS untuk Gaza, selari dengan pendirian menolak kekejaman dan menyeru pematuhan undang-undang antarabangsa.
- Mohamed Khaled gesa tindakan kolektif berasaskan nilai kemanusiaan, serta puji dialog damai Kemboja-Thailand dan sokongan rakan serantau.
- ADMM-Plus perlu kekal inklusif dan responsif, dengan komitmen baharu terhadap perpaduan, kerjasama dan kepercayaan sempena ulang tahun ke-15.
"Kami menggesa semua negara, khususnya kuasa besar, agar menggunakan pengaruh mereka secara bertanggungjawab dan selaras dengan undang-undang antarabangsa,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN bersama Rakan Dialog (ADMM-Plus) ke-12 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Beliau turut menegaskan bahawa konflik berpanjangan itu memerlukan tindakan segera dan kolektif yang berasaskan nilai kemanusiaan sejagat, bukan kekerasan atau dominasi kuasa.
Dalam ucapannya, Mohamed Khaled turut memuji Kemboja dan Thailand atas pendekatan dialog konstruktif dalam menyelesaikan pertikaian sempadan secara aman, selaras dengan semangat perpaduan ASEAN.
Beliau juga menghargai sokongan rakan serantau termasuk Amerika Syarikat, China dan negara-negara ASEAN lain dalam mempromosikan penyelesaian damai.
“Marilah kita terus bertindak bersama, dipandu oleh undang-undang, belas ihsan dan semangat kebersamaan demi keamanan sejagat,” katanya.
Mengenai hala tuju ADMM-Plus, beliau menekankan keperluan agar platform itu kekal dinamik dan responsif, berpaksikan prinsip dialog, ketelusan dan saling menghormati yang menjadi teras ASEAN.
“Kita mesti memperkukuh kepercayaan, meningkatkan komunikasi ketika krisis dan menangani cabaran keselamatan baharu.
"ADMM-Plus perlu mengekalkan sifat inklusif dan kepimpinan ASEAN yang memberi legitimasi dan kestabilan, walaupun dalam situasi tegang,” tambahnya.
Sempena ulang tahun ke-15 ADMM-Plus, Mohamed Khaled menyeru semua negara anggota dan rakan dialog agar memperbaharui komitmen terhadap perpaduan, kerjasama dan kepercayaan.
“Bersama-sama, kita bina masa depan yang lebih selamat, kukuh dan makmur untuk rantau ini serta dunia,” katanya mengakhiri ucapan.
Mesyuarat ADMM-Plus ke-12 menghimpunkan lapan negara rakan dialog, Amerika Syarikat, Rusia, Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand, bagi memperkukuh diplomasi pertahanan dan kerjasama keselamatan serantau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


