PUTRAJAYA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun berdepan detik cemas selepas kakinya tersangkut di eskalator dalam kejadian di sebuah pusat membeli belah, di sini pada Ahad.

Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 1.48 petang tadi, sebelum anggota penyelamat tiba di lokasi kejadian pada pukul 2.01 petang.

Seramai tujuh anggota digerakkan ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa.

Jelas kenyataan itu lagi, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang menuruni eskalator di tingkat dua pusat beli belah berkenaan, sebelum kaki kanan kanak-kanak malang itu tersangkut.

"Kaki mangsa berjaya dikeluarkan.

"Mangsa diserahkan kepada ambulans Hospital Serdang untuk tindakan selanjutnya. Kanak-kanak berusia tiga tahun itu dalam keadaan selamat," demikian menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis ketika dihubungi Astro AWANI mengesah kejadian tersebut.

Jelas beliau, sebelum kejadian mangsa bersama ayah dan ibunya sedang mencari keperluan hari raya.

"Kemungkinan kaki dia berada di tepi antara rak eskalator," katanya.

Bernama pula melaporkan pihak pengurusan pusat membeli belah telah menutup sementara operasi eskalator susulan kejadian tersebut.

Setakat ini punca kejadian masih belum disahkan.