AYER KEROH:Kerajaan Negeri Melaka menangguhkan semua program rasmi membabitkan pemimpin-pemimpin kanan negeri, selepas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu disahkan positif COVID-19.

Menerusi kenyataan dikeluarkan pejabat Ketua Menteri, arahan itu berkuat kuasa serta-merta sehingga tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

“Berikutan terdapat kes positif wabak COVID-19 di Melaka baru- baru ini, segala program yang melibatkan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka dan barisan Exco ditangguhkan berkuat kuasa serta-merta.

“Selain itu, perjumpaan yang melibatkan Ketua Menteri di pejabatnya di Kompleks Seri Negeri juga ditangguhkan sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

BACA: COVID-19: "Mula-mula negatif, sekarang positif" - ADUN Ayer Limau

“Orang ramai yang ingin berurusan di pejabat-pejabat kerajaan lain di seluruh negeri Melaka, mereka mesti mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

BACA: COVID-19: 260 kes baharu, jumlah kedua tertinggi sejak Februari

Dalam pada itu, menyentuh soal gambar yang tular berkaitan proses disinfeksi yang dilakukan di pejabat pentadbiran di Kompleks Seri Negeri adalah proses berkala yang sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa.

“Sehubungan dengan itu, orang ramai di seluruh negeri Melaka dinasihatkan tidak panik dengan laporan-laporan yang ditularkan di media sosial, sebaliknya terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” tambahnya.

Terdahulu, Adun Ayer Limau Datuk Amiruddin Yusof mengesahkan bahawa beliau positif COVID-19 selepas pulang dari Sabah.

Susulan kes positif itu, Kompleks Seri Negeri pada Khamis ditutup bagi proses nyah cemar.