ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli, kritikal

Bernama
September 30, 2019 15:19 MYT
Atas nasihat doktor, hanya ahli keluarga terdekat Pesuruhjaya Pas Perlis itu sahaja boleh melawatnya ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli yang kini diletakkan di bawah pengawasan rapi di Unit Rawatan Koronori (CCU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar kini dilaporkan kritikal.
Ketua Penerangan Pas Perlis, Dr Saifizi Saidon dalam satu kenyataannya berkata atas nasihat doktor, hanya ahli keluarga terdekat Pesuruhjaya Pas Perlis itu sahaja boleh melawat manakala individu lain diminta menangguhkan hasrat terlebih dahulu sehingga dimaklumkan kelak.
"Pas Perlis juga sedang giat mengemaskini sebarang perkembangan terkini mengenai kesihatan beliau (Mohd Shukri) dan orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan sebarang maklumat yang bukan datang dari sumber rasmi parti," kata Saifizi.
BACA: Pesuruhjaya Pas Perlis rebah ketika sampaikan ceramah
Saifizi turut meminta orang ramai untuk terus mendoakan kesejahteraan dan mengadakan solat hajat untuk Mohd Shukri.
Media melaporkan kira-kira 10 malam tadi, Mohd Shukri secara tiba tiba rebah dan tidak sedarkan diri ketika menyampaikan ucapan pada Ceramah Perdana Muafakat Nasional peringkat negeri di Dewan 2020.
Beliau diberikan bantuan awal oleh Unit Medik, Jabatan Amal PAS dan kemudian dikejarkan ke HTF oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Perlis.
-- BERNAMA
#adun sanglang #Hospital #Mohd Shukri Ramli #PAS #Pesuruhjaya PAS Perlis