MALAYSIA

Aerotrain: 'Lewat? Siapa akan bertanggungjawab jika tak selamat' - Loke

Umavathi Ramayah 21/06/2025 | 04:50 MYT
Menteri Pengangkutan Anthony Loke (tengah) ketika sidang media selepas membuat lawatan Aerotrain KLIA bersama pengamal media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini. - Foto Bernama
SEPANG: Penangguhan perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah bagi memastikan keselamatan sistem tersebut serta keperluan untuk melengkapkan ujian-ujian kritikal sebelum ia dibenarkan beroperasi semula.

Ringkasan AI
  • Perkhidmatan Aerotrain KLIA masih ditangguhkan kerana semua ujian keselamatan belum lengkap; Kementerian Pengangkutan tidak akan meluluskan operasi sehingga keselamatan benar-benar terjamin.
  • Beberapa insiden teknikal serius sejak 2023, termasuk gangguan pada 27 Februari dan 1 Mac, menyebabkan tren terkandas dan penumpang terpaksa berjalan kaki ke bangunan satelit.
  • Projek penggantian Aerotrain mengalami kelewatan, dengan tren pertama dijangka kembali beroperasi Julai 2024 dan operasi penuh dijadualkan siap menjelang Mac 2025.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya tidak dapat meluluskan operasi sistem itu selagi semua protokol keselamatan belum disahkan sepenuhnya.
"Keselamatan adalah keutamaan kami. Jika ujian belum dijalankan atau belum lulus, kita tidak boleh meluluskannya.
"Jadi, siapa yang akan bertanggungjawab sekiranya benarkan Aerotrain beroperasi tanpa melalui semua ujian dengan sempurna? Kami tidak menafikan ada kelewatan berbanding apa yang dijangka, tetapi sebagai pengawal selia teknikal, kami bertanggungjawab memastikan keselamatan penumpang diutamakan.
"Operasi tidak akan dibenarkan selagi kami belum berpuas hati," katanya pada sidang media selepas pratonton sistem Aerotrain KLIA, di sini pada Sabtu.
Projek penggantian sistem Aerotrain ini pada asalnya dijadualkan siap pada Januari 2025, namun telah mengalami beberapa siri kelewatan.
Perkhidmatan Aerotrain digantung sejak Mac 2023 selepas beberapa insiden gangguan teknikal yang menjejaskan pengguna.
Pada 27 Februari 2023, sebuah tren Aerotrain terkandas di tengah laluan antara terminal utama dan bangunan satelit. Sebuah tren kedua dihantar sebagai pengganti, namun ia turut mengalami masalah teknikal, menyebabkan penumpang terpaksa berjalan kaki ke bangunan satelit.
Selang beberapa hari kemudian, pada 1 Mac 2023, seramai 114 penumpang terkandas apabila sistem Aerotrain sekali lagi mengalami kerosakan.
Perkhidmatan tren pertama sepatutnya kembali beroperasi pada Julai 2024, manakala operasi penuh dijadualkan meliputi keseluruhan laluan sepanjang 1.5 kilometer menjelang Mac 2025.
#aerotrain #KLIA #Anthony Loke #kelewatan