KUALA LUMPUR: Tiga rakyat Malaysia menerima penghormatan Order of Australia pada tahun ini atas sumbangan cemerlang mereka dalam mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia dan Australia.

Mereka terdiri daripada Penasihat Warisan Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) Datuk Lim Kian Hock, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan pemandu pelancong kembara terkenal Tham Yau Kong.

Anugerah itu mengiktiraf warga Australia yang telah menunjukkan perkhidmatan cemerlang atau pencapaian luar biasa. Bukan warganegara pula diiktiraf melalui anugerah kehormat.

Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia dalam satu kenyataan menyatakan Lim dikurniakan Pingat Kehormat Kebesaran Australia (OAM) oleh Kuasa Usaha Clare Gatehouse bagi pihak Pesuruhjaya Tinggi Australia Dr Justin Lee, dalam satu majlis yang berlangsung di Suruhanjaya Tinggi di sini pada Selasa.

Beliau diiktiraf atas khidmatnya untuk hubungan Australia-Malaysia, khususnya dalam memperingati peranan yang disumbangkan oleh rakyat Australia di Sarawak semasa Perang Dunia II dan dalam perkhidmatan ketenteraan antara kedua-dua negara.

“Selama beberapa dekad, Lim mendedikasikan dirinya untuk memperingati Angkatan Bersenjata Australia  dan mereka yang berkhidmat bersama dalam Perang Dunia II.

"Pada 2013, Lim berkempen dan menyokong pengiktirafan kekal Z-Unit Australia atas kegagahan mereka, dengan sokongan Jawatankuasa dan Komuniti Bario Rurum Kelabit, ATM, Jawatankuasa Pembangunan Warisan Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF), mendiang Jack Tredrea, keluarga dan rakan komando,” katanya.

Jeneral Affendi pula dianugerah Pegawai Kehormat (AO) Order of Australia (Bahagian Tentera) oleh Pesuruhjaya Tinggi pada 8 Mei.

Ketua Angkatan Pertahanan Australia, Jeneral Angus J. Campbell turut menghadiri majlis itu yang berlangsung di Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur.

Affendi diiktiraf atas khidmat cemerlangnya dalam mengukuhkan hubungan pertahanan antara Australia dan Malaysia melalui komitmen, kepimpinan dan wawasan strategiknya sebagai Panglima ATM.

Beliau memperjuangkan kehadiran Australia di Malaysia dan penyertaannya dalam Perjanjian Pertahanan Lima Negara, aktif menyokong pengekalan penglibatan pertahanan dengan Australia semasa pandemik COVID-19 dan meningkatkan kesalingoperasian dan kerjasama antara Angkatan Pertahanan Australia dan ATM.

Sementara itu, Lee pada 24 April menganugerah Pingat Kehormat kepada Tham dalam Bahagian Am Order Australia (OAM) di Sandakan selepas hari peringatan ANZAC.

Tham diiktiraf atas jasanya memperingati pengorbanan tawanan perang Australia di Malaysia, khususnya sepanjang kawat maut Sandakan-Ranau (1942-1945).

Semasa Perang Dunia II, hampir 2,500 tawanan perang (POW) mati secara tragis di Sabah, termasuk lebih 1,000 daripadanya kehilangan nyawa dalam tragedi kawat maut, dengan 1,800 daripadanya terdiri daripada warga Australia.

“Tham, seorang pemandu pelancong yang sangat dihormati dan pakar kembara hutan, telah memain  peranan penting dalam menyerlahkan keberanian dan ketahanan tawanan perang terbabit. Beliau membiayai kembara pencarian trek kawat maut Sandakan-Ranau dan membantu menubuhkan beberapa tugu peringatan di sepanjang laluan itu,” menurut kenyataan itu.

Pada tahun 2006, Angkatan Pertahanan Australia mengiktiraf usaha Tham dengan menghantar delegasi untuk menjadi warga Australia pertama yang melintasi bahagian trek yang 'hilang' itu sejak 1947.

Sejak kembara pertama itu, Tham bekerja tanpa jemu menceritakan kisah kawat maut kepada khalayak yang lebih luas dengan mewujudkan laluan berbasikal di bawah trek, menganjur program untuk pelajar dan kerap memberi syarahan kepada pemandu pelancong tempatan mengenai kepentingan penceritaan sejarah
perang itu kepada rakyat Australia dan Malaysia.

-- BERNAMA