[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
MALAYSIA

AGC arah kes tembak Durian Tunggal diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh

Astro Awani 16/12/2025 | 11:08 MYT
Siasatan polis terhadap kes tembakan maut melibatkan tiga lelaki yang disyaki perompak di Durian Tunggal, Melaka bulan lalu telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Siasatan polis terhadap kes tembakan melibatkan tiga lelaki yang disyaki perompak di Durian Tunggal, Melaka bulan lalu telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.


Ringkasan AI
  • Siasatan polis mengenai kes tembakan maut di Durian Tunggal, Melaka melibatkan tiga lelaki perompak diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
  • AGC membuat keputusan selepas meneliti laporan polis dan bersetuju dengan cadangan PDRM untuk kes tersebut dikategorikan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.
  • Tindakan lanjut diperlukan oleh PDRM bagi melengkapkan siasatan sebelum sebarang keputusan muktamad diumumkan menurut kenyataan dari AGC.


Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan arahan itu pada hari ini selepas meneliti laporan yang dikemukakan polis berhubung kes berkenaan.

“Jabatan Peguam Negara telah dirujuk dengan laporan kes tiga lelaki ditembak mati di Melaka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Berdasarkan taklimat dan cadangan yang dikemukakan oleh PDRM, Jabatan ini bersetuju dan mengarahkan agar siasatan diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan bunuh," kata jabatan itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut AGC, penelitian awal juga mendapati beberapa tindakan lanjut masih perlu diambil oleh PDRM bagi melengkapkan siasatan sebelum apa-apa jua keputusan muktamad dibuat.

Pada 24 November lalu, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati dalam satu kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, selepas seorang daripada mereka didakwa menghayunkan parang ke arah seorang anggota polis.

Insiden kira-kira jam 4.30 pagi itu mengakibatkan seorang anggota polis berpangkat koperal berusia awal 30-an cedera parah di bahagian lengan kiri.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata ketiga-tiga suspek yang dipercayai ahli Geng Durian Tunggal sedang dalam perjalanan untuk melakukan samun dan aktif terlibat dalam kegiatan jenayah sejak 2024, membabitkan 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan jumlah kerugian dianggarkan RM1.35 juta.

Bagaimanapun, pada 3 Disember lalu, ahli keluarga suspek menafikan dakwaan bahawa mangsa bertindak agresif terhadap pasukan keselamatan, sekali gus mendorong pihak polis menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan tersebut susulan ketidakpuasan hati pihak keluarga terhadap tindakan polis.

#Jabatan Peguam Negara #Seksyen 302 Kanun Keseksaan #tembak #kes bunuh