KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk mengklasifikasikan kertas siasatan melibatkan aduan oleh Tei Jiann Cheing, atau Albert Tei, terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Dalam kenyataan pada Rabu, AGC memaklumkan pihaknya telah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan dakwaan ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
"Hasil penelitian menyeluruh mendapati elemen kesalahan ugutan jenayah seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen berkenaan tidak dapat dibuktikan.
"Sehubungan itu, AGC memutuskan supaya kes tersebut tidak diteruskan dengan sebarang tindakan lanjut," kata jabatan itu.
Tei baru-baru ini membuat beberapa dakwaan terhadap Azam berkaitan pertikaian dan siasatan yang sedang berjalan.
Antara lain, Tei mendakwa beliau telah diugut, dihalang dan menjadi mangsa apabila cuba mendedahkan satu skandal rasuah yang didakwa membabitkan beberapa ahli politik di Sabah.
Azam bersara sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Mei lalu selepas berkhidmat hampir 40 tahun dalam agensi antirasuah itu, termasuk lima tahun menerajui SPRM.