Dengan permintaan untuk menonton rancangan sukan semakin meningkat, situasi ini dilihat akan menyebabkan penonton terpaksa membayar lebih demi mendapatkan kepuasan menonton.

Kolumnis akhbar The Sun, R. Nadeswaran berkata semasa ditemubual dalam rancangan Agenda AWANI, sukan tidak lagi dilihat sebagai ‘sukan untuk semua’ tetapi ianya mula dikomersilkan.


Ketua Perniagaan Sukan Astro, CK Lee turut menyuarakan pandangan yang sama dimana menurut beliau, permintaan yang wujud disebabkan peminat sukan merupakan faktor mengapa bayaran untuk hak penyiaran perlawanan sukan semakin meningkat, sekaligus menyebabkan peminat sukan terpaksa membayar lebih.

Beliau menambah, untuk memuaskan permintaan peminat sukan tanah air, Astro membeli sebanyak 380 perlawanan sukan bagi setiap musim.

Sementara itu, harapan peminat sukan untuk menonton perlawanan sukan yang lebih berkualiti sedikit sebanyak telah menyebabkan bayaran mendapatkan hak penyiaran perlawanan sukan semakin tinggi.

“Penonton mengharapkan yang lebih, mereka mengharapkan perlawanan yan berkualiti dan dengan teknologi yang canggih sekarang dimana semuanya boleh diakses melalui telefon bimbit dan internet, mereka mahukan kemudahan seperti ini juga. Menonton sukan dimana sahaja dan pada bila-bila masa,” kata Naib Presiden Kanan, Kandungan dan Komunikasi Fox Fox International Channels, Rohit D'Silva.