BANGI: Cabaran tugas kewartawanan dan juga media masa kini tidak lagi hanya tertumpu dan berlumba mendapatkan berita yang tepat dengan penyampaian terbaik semata-mata, tetapi tanggungjawab itu kini meliputi persaingan media digital yang terlalu bebas dan pantas.

Tidak hanya di Malaysia, media negara lain di rantau ini kini terpaksa mendepani cabaran baharu yang perlu digalas iaitu penyebaran berita palsu yang semakin mudah ditularkan dan memberikan kesan yang sangat buruk.

Menurut Ketua Agensi Berita Antara di Kuala Lumpur Virna Puspa Setyoni, keterbukaan media digital yang dialami kini telah mengubah landskap keperluan media di rantau ini termasuk di Malaysia dan Indonesia.

Justeru, tugas untuk menyampaikan informasi yang tepat kini dibebani dengan tugasan memperbetulkan berita palsu yang semakin menjadi keutamaan dan keperluan pada era perubahan semasa yang dialami.

Masalah berita palsu juga menjadi cabaran buat media Malaysia  dan Indonesia

“Apa yang berlaku di Malaysia turut dialami oleh media Indonesia yang menuntut kita untuk memiliki unit antiberita palsu tersendiri. Ini sudah menjadi tanggungjawab wartawan dan juga agensi media untuk memiliki kemampuan dalam mengimbangi informasi yang sampai kepada masyarakat,” jelasnya dalam sidang media pada Program Lawatan Setia Kawan Media Indonesia ke Malaysia bagi meninjau tenaga kerja Indonesia di Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya dalam masa sama, etika kewartawanan yang sedia diamalkan perlu kekal menjadi panduan dalam setiap penyampaian sekalipun pada ketika bersaing mengejar kepantasan penyebaran informasi oleh media sosial.

Cabaran tanpa jarak dan sempadan oleh media digital itu katanya, turut menuntut kerjasama dan hubungan yang sentiasa terjalin dalam kalangan pengamal media di rantau ini untuk memudahkan rujukan maklumat  antara satu sama lain.

Menyentuh mengenai lawatan yang diadakan hari ini, beliau menyifatkan ia satu inisiatif yang sangat baik dan diperlukan dalam kalangan media Indonesia untuk melihat dan menilai sendiri situasi sebenar membabitkan tenaga kerja asing dari negara itu di Malaysia.

Kunjungan yang disertai oleh ahli-ahli Setia Kawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (ISWAMI) atas jemputan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) disifatkan sebagai contoh terbaik hubungan sesama media dari kalangan negara tetangga dalam menangani sesuatu isu.

Inisiatif itu katanya mampu menjadi satu jaminan maklumat kepada setiap pengamal media di rantau ini terutama apabila menyentuh isu yang mampu dimanipulasi oleh pihak lain dan menimbulkan persepsi yang buruk dalam kalangan negara serumpun Malaysia-Indonesia.

“Tentunya penilaian dari kaca mata media Indonesia selepas ini lebih tepat dengan kesesuaian fakta yang kita perlukan.

“Undangan seperti ini tentunya menjadi harapan kami juga pada masa depan untuk melihat lebih banyak lagi situasi sebenar keadaan pekerja imigran di negara ini tidak hanya warga Indonesia malah negara lain seperti Myanmar, Vietnam dan lain-lain,” katanya lagi.

20 wakil media dari Indonesia yang menyertai lawatan ini dibawa ke Pangsapuri Sri Ayu Seksyen 4, Bandar Baru Bangi yang didiami lebih 1,300 warga kerja Indonesia dari pelbagai sektor.

Sebelum ini isu layanan terhadap warga kerja dari negara itu di Malaysia sering mencetuskan rasa tidak puas hati dari kalangan warga kedua-dua negara.

BACA: Tidak timbul isu layanan buruk terhadap tahanan warga Indonesia - Hamzah

Sementara itu menurut Pengurus Besar Kanan Pentadbiran PKNS Saharom Mohni, pangsapuri yang dilawati itu dibina khusus untuk penempatan tenaga kerja luar wanita dan mula beroperasi sejak tahun 1998.

Bangunan tujuh blok dan memiliki 390 unit rumah itu katanya kini menempatkan tenaga kerja asing dari 15 buah syarikat membabitkan warga Indonesia, Myanmar dan Vietnam. 

"Asrama pekerja ini menjadi bukti kitaran kerjasama unik antara Kerajaan Negeri Selangor melalui PKNS yang menyediakan tempat tinggal dengan pihak kedutaan yang membekalkan tenaga kerja dan sekali gus memberikan keuntungan kepada majikan serta para pelabur dalam meningkatkan produktiviti pembuatan," katanya.