Bunuh ibu tunggal: Tiga lelaki direman tujuh hari

Kesemua suspek yang memakai baju lokap berwarna jingga dibawa ke mahkamah dengan diiringi polis jam 12 tengah hari tadi. - Foto Astro AWANI
BUTTERWORTH: Tiga lelaki ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kejadian seorang wanita yang mati dipercayai dibunuh di kediamannya di Flat Sri Murni, Sungai Dua, di sini pada Rabu.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal ke atas tiga lelaki terbabit di Mahkamah Majistret Butterworth tengah hari tadi.
Tempoh reman bermula hari ini sehingga 11 Februari dibenarkan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, kesemua suspek yang memakai baju lokap berwarna jingga dibawa ke mahkamah dengan diiringi polis jam 12 tengah hari tadi.
Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata polis telah menahan dua lelaki beberapa jam selepas kejadian di sekitar daerah itu.
Setakat ini polis masih menunggu laporan bedah siasat mangsa yang dijalankan di Hospital Kepala Batas hari ini .
Pada Rabu, seorang wanita berusia 41 tahun ditemukan dalam keadaan terbaring di atas katil di sebuah bilik dalam rumah berkenaan dengan kesan kelar pada lehernya.
Jiran mangsa memaklumkan kepada polis pada jam 1.40 tengah hari selepas mangsa yang juga seorang ibu tunggal tidak memberi sebarang respons meskipun pintu rumahnya didapati terbuka manakala pagar jeriji berkunci.
Mangsa dikatakan mengambil upah menghantar beberapa pelajar yang tinggal di flat berkenaan ke sekolah dan menetap di rumah itu bersama anak lelakinya yang berusia 15 tahun.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


