Semua agensi umrah diminta menyelesaikan semua urusan perjalanan jemaah sebelum berlepas ke tanah suci untuk mengelakkan sebarang isu terkandas.

Presiden Persatuan Agensi Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Datuk Syed Mohd Razif Syed Yasin berkata, ia sekali gus melahirkan keyakinan jemaah selain 'membersihkan' nama semua agensi yang menganjurkan program umrah.

"Agensi berkenaan perlu lebih bertanggungjawab dan jangan susahkan jemaah jika mereka sudah ada di tanah suci. Jangan bila sampai di Mekah atau Madinah nanti, mereka tidak tahu perjalanan seterusnya ke mana.

"Terangkan secara jelas apa yang akan berlaku sepanjang perjalanan umrah itu. Jemaah perlu tahu apa yang akan berlaku terutama status penerbangan, hotel dan destinasi mereka sepanjang umrah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Syed Mohd Razif mengulas kejadian 106 jemaah umrah Malaysia yang ditipu agensi umrah yang beroperasi di Puchong, Selangor, apabila gagal membawa pulang semua mereka ke Malaysia.

Sebahagian jemaah umrah itu juga dilaporkan mengadakan demonstrasi di hadapan hotel tempat mereka menginap di Madinah.

Lebih menyedihkan, nasib 106 jemaah yang tidak dapat pulang ke Malaysia itu disifatkan lebih malang selepas agensi umrah terbabit meminta wang tambahan untuk pembiayaan hotel dan penerbangan walaupun sejumlah wang sudah dijelaskan.

Sebelum ini, ada laporan menyatakan sebuah agensi pelancongan dikatakan telah menipu kira-kira 1,200 bakal jemaah umrah dari seluruh negara, melibatkan kerugian RM4.8 juta selepas penerbangan mereka ditunda beberapa kali.

Selain gagal menunaikan umrah, mereka juga gagal menuntut kembali wang mereka.

Laporan yang sama menyatakan bahawa agensi pelancongan yang berpejabat di Wangsa Maju, Kuala Lumpur itu turut gagal menguruskan penerbangan jemaah umrah dijadualkan walaupun bayaran penuh RM3,999 seorang dibuat.

Jelas Syed Mohd Razif, paling penting semua agensi berkenaan diharap tidak lagi menyusahkan jemaah dan mengakui walaupun agensi berkenaan tiada niat untuk menipu namun kegagalan untuk mengambil kira kemungkinan lain seperti penerbangan mengakibatkan terjadinya perkara seperti itu perlu sentiasa diambil kira.