KUALA LUMPUR: Pengagihan kuota rumah kos rendah tidak pernah bersandarkan kepada ideologi politik, agama dan sebagainya, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, bukan dasar kerajaan untuk berbuat demikian, sebaliknya pengagihan kuota adalah bersandarkan kepada mereka yang berkelayakan sahaja.

Jelas Ahli Parlimen Maran itu lagi, sesiapa juga ahli politik boleh memberi janji itu untuk mendapatkan sokongan, namun akhirnya, ia bukanlah sesuatu dasar kerajaan yang muktamad.

“Sepanjang saya berada di KPKT, bahkan sebelum ini pun, saya tidak pernah dengar ada dasar pemberian rumah berasaskan parti politik.  Kalau lihat pada pelaksanaan kita mengagihkan rumah ini, kita tak pernah pilih latar belakang politik, agama, budaya dan sebagainya.

“Kita pasti tak ada dasar seperti ini. Sebab itu saya bagitahu Shah Alam (Khalid Abdul Samad), KPKT sediakan rumah untuk B40 atau M40, tidak berasaskan politik. Kalau dari segi individu, Yang Berhormat boleh janji kepada siapa., tapi ia bukan dasar kerajaan,” katanya lagi.

Ismail berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Khalid, yang ingin mendapatkan jaminan kerajaan bahawa dasar pengagihan kuota rumah kos rendah berasaskan politik, yang beliau sifatkan dasar songsang itu, tidak lagi diteruskan.

Khalid, yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan berkata, sewaktu Pilihan Raya Negeri Johor baru-baru ini, Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad telah cuba mengembalikan skim Kuota Menegak Kerajaan (KMK) yang telah dimansuhkan sewaktu PH memerintah Johor dahulu.

Untuk rekod, skim KMK membenarkan 20 peratus kuota rumah kos rendah diberikan kerajaan negeri kepada parti-parti politik BN.

“Saya akui mungkin Timbalan Menteri tidak tahu kerana benda ni benda baharu, tapi dalam Pilihan Raya Negeri Johor, KMK telah dijanjikan oleh calon MB yang akhirnya tak jadi Menteri Besar.

“Kalau BN menang, maka skim kuota menegak kerajaan ini akan dikembalikan, kerana kerajaan PH Johor dahulu telah tamatkan.

“Tapi oleh kerana ia amalan biasa, malahan di Wilayah Persekutuan dulu pun pernah ada kes, Ketua Cawangan UMNO ada rumah kos rendah, sedangkan ada rumah lain dan sebagainya,” katanya lagi.