PAS Pusat akan melantik Jawatankuasa Tadbir bagi menguruskan mesyuarat Agung PAS kawasan Batu serta pemilihan jawatankuasa bagi sesi 2015-2017, lapor Harakhadaily.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dilaporkan sebagai berkata, pelantikan itu dibuat susulan peletakan jawatan 17 ahli jawatankuasa kawasan itu termasuk Yang Dipertuanya Ishak Surin semalam.

Mustafa juga dilaporkan berkata jawatankuasa tadbir bagi mengendalikan mesyuarat agung dan pemilihan dibuat berdasar peruntukan pelembagaan PAS.

Katanya, Jawatankuasa tadbir itu bakal diputuskan pada mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat pada 13 April nanti.

"Pejabat Setiausaha Agung PAS sudah semak dan mendapati ahli jawatankuasa PAS Batu yang masih ada tidak cukup korum untuk mengendalikan urusan PAS kawasan termasuk mesyuarat agung," kata Mustafa seperti dilaporkan Harakahdaily.

Lidah rasmi PAS itu juga melaporkan. Mustafa sebagai berkata, kebiasaannya jawatankuasa tadbir itu diserahkan kepada perhubungan PAS negeri itu bagi menguruskan aturan mesyuarat tahunan itu.

Semalam, 17 AJK PAS Batu mengumumkan peletakan jawatan serta merta kerana kecewa dengan kepimpinan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.