Agong berkenan sempurnakan Istiadat Pertukaran Panji-Panji Agong 2025

Istiadat yang berlangsung penuh adat ketenteraan itu merupakan yang julung kali diadakan sejak Seri Paduka Baginda menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menyempurnakan Istiadat Pertukaran Panji-Panji Agong Tahun 2025 yang berlangsung di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.
Ringkasan AI
- Sultan Ibrahim menyempurnakan istiadat julung kali sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Pemerintah Tertinggi ATM, berlangsung penuh adat ketenteraan di Kem Perdana Sungai Besi, melibatkan tiga perkhidmatan utama ATM: RAMD, KAD dan TUDM.
- Istiadat ini menggantikan Panji-Panji lama yang lusuh dengan yang baharu, sebagai simbol penghormatan tertinggi terhadap kesetiaan dan semangat juang warga ATM kepada Raja dan Negara, selaras dengan prinsip kedua Rukun Negara.
- Markas ATM menegaskan kepentingan Panji-Panji sebagai lambang kehormatan dan identiti pasukan, serta manifestasi penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan ATM dalam mempertahankan kedaulatan negara, berteraskan slogan "Duty, Honour, Sacrifice".
Istiadat dimulakan dengan Sultan Ibrahim menerima Tabik Hormat Diraja dan disusuli pemeriksa perbarisan tiga perkhidmatan utama ATM iaitu Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kor Armor Diraja (KAD) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), melibatkan empat detasmen dengan kekuatan keseluruhan 34 pegawai dan 430 anggota lain-lain pangkat.
Upacara diteruskan dengan perarakan keluar Panji-Panji lama, diikuti pentauliahan serta penganugerahan Panji-Panji baharu oleh Yang di-Pertuan Agong, dan disusuli lafaz ikrar kesetiaan oleh RAMD, KAD dan TUDM.
Turut hadir, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Udara Jen Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris dan Penglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain.
Sementara itu, Markas ATM dalam kenyataan memaklumkan, istiadat penuh adat ketenteraan itu dilaksanakan bagi menggantikan Panji-Panji lama yang telah lusuh, selain menjadi simbol penghormatan tertinggi terhadap kesetiaan dan semangat juang warga ATM kepada Raja dan Negara.
"Panji-Panji merupakan lambang kehormatan, identiti pasukan serta semangat juang yang diwarisi oleh setiap warga ATM. Ia disanjung tinggi dan diurus dengan penuh tatacara penghormatan," menurut kenyataan itu.
Markas ATM memaklumkan bahawa istiadat berkenaan menjadi manifestasi penghargaan terhadap jasa serta pengorbanan warga ATM dalam mempertahankan kedaulatan negara.
"Ia menegaskan bahawa taat setia kepada Raja dan Negara merupakan asas kekuatan ATM, selaras dengan semangat yang dizahirkan melalui slogan 'Duty, Honour, Sacrifice'," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami