ANKARA (Turkiye): Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Naib Presiden Turkiye Fuad Oktay di Hotel JW Marriot Ankara sempena Lawatan Negara Seri Paduka ke Turkiye.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata sesi menghadap tidak berjadual itu diadakan susulan sesi menghadap Al-Sultan Abdullah bersama Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada majlis Sambutan Negara pada Selasa (16 Ogos).

Pada sesi yang berlangsung selama sejam itu, beberapa isu telah dibincangkan khususnya dalam hubungan dua hala.

Ahmad Fadil berkata pendekatan itu adalah selaras dengan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Turkiye pada bulan lepas yang hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye telah dipertingkatkan daripada Kerangka Kerja Bagi Kerjasama Strategik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

Peningkatan ini khususnya dalam memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang sedia ada dan turut menerokai bidang baharu antaranya keselamatan makanan, pendidikan, komoditi, perkhidmatan kewangan, pertahanan, minyak dan gas serta tenaga yang boleh diperbaharui.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja isu-isu yang dibangkitkan dalam sesi menghadap itu turut mengambil kira lanjutan dari lawatan Menteri Luar Turkiye ke Malaysia pada awal Ogos lepas.

Turut hadir dalam sesi menghadap Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Turkiye Fatih Donmez, Gabenor Bank Negara Turkiye Sahap Kavcioglu, Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Petroleum Melih Han Bilgin dan Duta Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel.

Tahun ini merupakan tahun ke-58 hubungan diplomatik Malaysia dan Turkiye yang terjalin sejak 1964.

Malaysia dan Turkiye telah menandatangani 23 perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) sejak 1977 dan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara semakin berkembang sejak termeterainya perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pada 2014.

Turkiye adalah rakan kongsi perdagangan ketiga terbesar Malaysia di Timur Tengah selepas Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan jumlah perdagangan antara dua negara merekodkan RM16.97 bilion pada tahun lepas dengan jumlah eksport bernilai RM14.12 bilion manakala jumlah import bernilai RM2.84 bilion.

Import utama Malaysia dari Turkiye antaranya besi dan logam, produk petroleum, barangan kemas, tekstil dan pakaian.

Dengan adanya Perkongsian Strategik Komprehensif ini, adalah dijangkakan bahawa kedua-dua negara akan meningkatkan kerjasama dan promosi perdagangan.

-- BERNAMA