MALAYSIA
Agong ingatkan Mindef elak beli pesawat terpakai, hindari juruterbang naiki 'keranda terbang'

Sultan Ibrahim berkenan bertitah pada Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-60 di Padang Kawad Markas Gerup Gerak Khas, Kem Iskandar hari ini. - Foto Bernama
MERSING: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini mengingatkan Kementerian Pertahanan supaya tidak mengulangi kesilapan lalu dalam pembelian aset ketenteraan, khususnya pesawat terpakai yang boleh mengancam nyawa juruterbang dan anggota tentera.
Ringkasan AI
- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menegur Kementerian Pertahanan agar tidak mengulangi kesilapan membeli aset ketenteraan terpakai seperti pesawat Skyhawk yang membahayakan nyawa anggota.
- Baginda mengkritik pengaruh ejen dan bekas jeneral dalam urusan perolehan, serta menekankan keperluan penilaian telus berdasarkan harga pasaran dan keperluan sebenar tentera.
- Baginda turut menegur kelewatan projek dan pembelian aset yang tidak masuk akal, serta menyeru kerajaan memberi keutamaan kepada peralatan baharu demi kesiapsiagaan Rejimen Gerak Khas.
"Saya percaya semua ini berlaku kerana di Kementerian Pertahanan penuh dengan ejen atau bekas jeneral yang jadi salesman (jurujual), malah ada syarikat penjual kain pun masuk hendak jual dron," titah Sultan Ibrahim pada Majlis Perbarisan Hari Ulang Tahun ke-60 Rejimen Gerak Khas (RGK) di Kem Iskandar, di sini.
Turut berangkat Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.
Hadir sama Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Pesawat A-4 Skyhawk yang dibangunkan McDonnell Douglas (kini Boeing) amat sinonim dengan TUDM, yang memperoleh sebanyak 80 buah pesawat itu dari Amerika Syarikat pada 1982 dengan harga AS$1 juta setiap satu, namun perkhidmatannya ditamatkan kerana kadar kemalangan yang tinggi.
Sultan Ibrahim, yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK) turut menasihatkan Menteri Pertahanan agar membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk yang usianya lebih 30 tahun kerana khuatir kesilapan sama berulang.
Yang di-Pertuan Agong menegaskan semua pihak yang terlibat dalam perolehan aset ketenteraan perlu memastikan penilaian dibuat secara telus mengikut harga pasaran serta keperluan sebenar tentera, bukan semata-mata mendengar cadangan ejen atau pihak berkepentingan.
"Jangan buang masa beli barang yang merepek dan tidak sesuai dengan keperluan tentera. Kalau tidak tahu harga, tanya saya dahulu.
"Lima tahun dulu saya pernah tegur tentang pembelian bot rigid raiding craft (bot tempur kecil berstuktur keras) untuk komando pada harga RM5 juta, sedangkan saya boleh dapatkan bot lebih baik pada harga tidak sampai RM2 juta.
"Baru-baru ini saya dengar ada cadangan beli bot sama tetapi saiz lebih besar dengan harga hampir RM10 juta. Semua ini tidak masuk akal dan perlu diteliti betul-betul," titah Sultan Ibrahim.
Baginda bertitah, jika semua pembelian aset dibuat berdasarkan harga orang tengah, maka peruntukan kerajaan tidak akan pernah mencukupi.
Sultan Ibrahim bertitah, jika semua pembelian aset dibuat ikut harga orang tengah, maka semua peruntukan yang disediakan kerajaan tidak akan cukup.
"Oleh itu jangan cuba hendak temberang saya. Jika tidak mahu dengar cakap saya, selepas ini saya tidak akan tegur lagi," titah Seri Paduka Baginda.
Selain menekankan aspek ketelusan harga, Sultan Ibrahim turut menegur kelewatan projek kolam renang selam tempur di Kem RGK yang sepatutnya siap pada 2022, namun sehingga kini masih belum boleh digunakan.
Baginda pada masa sama menyeru kerajaan memberi keutamaan lebih besar kepada perolehan peralatan baharu bagi memastikan kesiapsiagaan RGK berada pada tahap tertinggi supaya mampu bertindak pantas menghadapi sebarang ancaman.
Perbarisan itu diadakan bagi memperingati ulang tahun penubuhan RGK ke-60 serta menghargai jasa dan pengorbanan wira pasukan elit tersebut dalam mempertahankan kedaulatan negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami