KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini, untuk lawatan khas hingga 4 Dis depan.

Menurut kenyataan Istana Negara, pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi pada 3.40 petang waktu tempatan (7.40 malam waktu Malaysia).

Lawatan itu bersempena Persidangan ke-28 Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP28), yang akan berlangsung dari 30 Nov hingga 12 Dis di Dubai.

Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Menteri Dalam Negeri UAE Sheikh Saif bin Zayed Al Nahyan dan Duta Besar Malaysia ke UAE Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin.

Esok, Al-Sultan Abdullah dijadual berangkat melakukan kunjungan hormat dan pertemuan dengan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan di Qasr Al Watan.

Pada kunjungan hormat itu, Seri Paduka dijadual mengurniakan darjah tertinggi negara Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N) dan Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang Yang Pertama kepada Sheikh Mohamed.

Kedua-dua pemimpin juga dijadual menyaksikan beberapa pertukaran dokumen antara syarikat Malaysia dan UAE berkaitan pelaburan di dalam tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.

Al-Sultan Abdullah turut dijadual berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Tindakan Iklim Dunia serta Segmen Peringkat Tinggi bagi Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan, pada 1 Dis.

Menurut kenyataan itu, Seri Paduka juga berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian Pavilion Malaysia serta berangkat ke upacara pertukaran dokumen membabitkan syarikat Malaysia dan UAE di luar COP28.

Terdahulu, Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan rombongan diraja itu juga terdiri daripada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta pegawai kanan kerajaan.

-- BERNAMA