CANBERRA: Perdana Menteri Australia Anthony Albanese berkata pada Isnin bahawa beliau akan mengadakan lawatan ke Brunei dan Malaysia bagi mengadakan perbincangan yang tertumpu kepada usaha menjamin bekalan bahan api dan baja, lapor Xinhua.
Albanese berkata dalam satu kenyataan bahawa beliau bersama Menteri Luar Penny Wong akan melawat Bandar Seri Begawan dan Kuala Lumpur dari Selasa hingga Jumaat untuk membincangkan bekalan bahan api dan barangan kritikal lain.
Advertisement
Beliau berkata penglibatan dengan rakan serantau yang penting akan membantu memastikan keselamatan bekalan tenaga Australia ketika dunia berdepan ketidaktentuan susulan konflik di Asia Barat.
“Kami mengambil setiap langkah untuk memperkukuh hubungan dan berunding dengan rakan kongsi utama bagi memastikan bekalan bahan api kami terus lancar,” kata Albanese.
Brunei dan Malaysia secara bersama membekalkan 21 peratus import urea gred baja Australia, manakala Malaysia ialah sumber ketiga terbesar bahan api bertapis negara itu.
Lawatan itu menyusuli kunjungan Albanese ke Singapura pada awal April, yang menyaksikan beliau dan Perdana Menteri Singapura mencapai persetujuan untuk melakukan “usaha maksimum” bagi memastikan bekalan bahan api dan gas asli cecair yang berterusan antara kedua-dua negara.
-- BERNAMA-XINHUA