Kira-kira 4,500 peserta mewakili 100 kontinjen dari pelbagai jabatan kerajaan, badan berkanun dan swasta berhimpun di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini bagi memeriahkan sambutan Maal Hijrah 1435H peringkat Kebangsaan, Selasa.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang diiringi Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah, berkenan merasmikan sambutan itu sebelum menyampaikan anugerah kepada dua Tokoh Maal Hijrah tahun ini.

Mereka ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Abdul Hamid Zainal Abidin serta cendekiawan dan ulama tersohor Dr Zakir Abdul Karim Naik dari India.

Sambutan itu yang bertema "Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah" turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sambutan hari ini bertujuan memperingati tahun baharu Islam yang mencatat peristiwa penting penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W. dari Makkah ke Madinah.

Jakim dalam kenyataannya menyatakan pnghijrahan dalam konteks kehidupan hari ini perlu disertakan dengan penghijrahan minda, nilai dan etika serta budaya positif.

Ia ke arah pembentukan masyarakat yang mempertahan kebebasan beragama dan keadilan kepada semua serta melindungi golongan minoriti untuk mengamalkan pegangan dan budaya.

Di KANGAR, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail bertitah umat Islam perlu menghayati erti wasatiyyah mengikut acuan syarak iaitu pendekatan kesederhanaan yang perlu diterapkan dalam kehidupan.

"Sederhananya Islam yang kita anuti bermaksud teliti dalam menegakkan keadilan dan pada masa yang sama menolak diskriminasi," titah baginda semasa merasmikan sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Perlis di Masjid Al-Shahrani, Behor Lateh.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Menteri Besar Perlis Azlan Man dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Romli Dai juga menghadiri majlis itu.

Tuanku Syed Sirajuddin turut bertitah mengingatkan umat Islam supaya berusaha menunjukkan teladan yang baik kepada penganut agama lain dengan memerangi kemungkaran dan menjauhi penyelewengan terhadap pemahaman agama.

Pada majlis itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin dan anggota Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Datuk Alim Setia Ahmad Jusoh diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1435H Negeri Perlis.

Mereka masing-masing menerima hadiah RM10,000, trofi serta sijil yang disampaikan oleh Tuanku Syed Sirajuddin.

Di KOTA BHARU, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V meminta umat Islam menghayati maksud sebenar penghijrahan seperti yang dilakukan Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabatnya.

Baginda bertitah peristiwa Hijratul Rasul yang kini disambut umat Islam seluruh dunia, sangat besar ertinya kepada umat Islam supaya mereka melakukan hijrah daripada perbuatan tidak baik kepada yang lebih baik.

"Penghijrahan tetap berterusan untuk umat Islam daripada melakukan kemungkaran kepada lebih baik lagi, daripada melakukan dosa kepada amal soleh dan daripada perpecahan kepada perpaduan," titah baginda semasa merasmikan Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Besar Balai Islam, Isnin malam.

Turut hadir Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dan exco-exco kerajaan negeri.

Baginda bertitah umat Islam perlu melakukan penghijrahan itu secara bersungguh-sungguh dan selaku ketua agama Islam, baginda komited mahu melihat sinar Islam itu dimartabatkan bukan sahaja di Kelantan tetapi di negara ini.

Pada majlis itu, cendekiawan Islam Mohamad Mahmood dipilih sebagai Tokoh Hijratul Rasul peringkat negeri dan menerima emas dinar bernilai RM5,500 dan sijil penghargaan.

Seorang guru yang juga saudara baharu, Muhammad Rizal Paul Abdullah pula dipilih sebagai Tokoh Saudara Kita yang menerima emas dinar bernilai RM3,000 dan sijil penghargaan.

Di SIBU, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata umat Islam di Sarawak perlu menerima pakai pendekatan kesederhanaan dalam kegiatan harian termasuk dalam tingkah laku dan tindakan.

Ia adalah paling relevan dengan tema sambutan Maal Hijrah tahun ini "Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah", katanya pada majlis sambutan peringkat negeri.

Teks ucapannya dibacakan Menteri Perumahan Negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan isteri Toh Puan Norkiah adalah antara 1,000 orang yang menghadiri majlis itu.

Abdul Taib berkata sikap perkauman atau ideologi melampau tidak mempunyai tempat dalam masyarakat majmuk seperti di Sarawak kerana ia akan membiakkan bibit perpecahan dan perselisihan.

"Demi meneruskan kestabilan politik dan kejayaan, semua pemimpin negeri mesti berusaha menyatukan semua kaum," katanya.

Pada majlis itu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Abdul Aziz Datuk Husain dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Sarawak.

Beliau menerima anugerah itu daripada Abang Muhammad Salahuddin yang turut menyampaikan anugerah kepada 11 yang lain.

Di MELAKA, lebih 2,000 orang hadir memeriahkan sambutan Maal Hijrah 1435H yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Pada majlis itu, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Prof Ibrahim Shah Abu Shah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah yang dijenamakan semula sebagai anugerah Abu Bakar As-Siddiq.

Di PERAK, Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara serta Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah berangkat ke sambutan peringkat negeri di Dewan Raja Baharom, Masjid Daerah di Batu Gajah.

Kira-kira 1,000 orang menyertai sambutan itu yang turut diperdengarkan dengan ceramah Maal Hijrah oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom diumum sebagai penerima khas Maal Hijrah manakala bekas Kadi Besar negeri Perak Sulaiman Ismail pula dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah.

Mereka masing-masing menerima hadiah RM10,000 serta pakej umrah bernilai RM5,000.

Di KOTA KINABALU, Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin meminta semua pihak termasuk parti politik supaya menunjukkan kebijaksanaan dan kematangan dengan tidak melakukan perkara yang menjejaskan kestabilan sosial dan pembangunan ekonomi negeri dan negara.

Juhar yakin tidak akan timbul pertelingkahan, perselisihan faham dan syak wasangka antara kaum jika semua pihak bekerjasama memajukan negeri ini.

"Untuk itu, ambillah pengajaran serta hikmah yang tersirat dalam peristiwa hijrah yang mengggariskan asas utama dalam perkara berkaitan politik dan pemerintahan, menegakkan hak-hak rakyat dan hak asasi manusia, mengatur sistem ekonomi dan sosial serta hubungan diplomatik dengan negara luar berasaskan ajaran Islam," katanya.

Juhar berkata demikian ketika merasmikan sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Dewan Sa'adah, Wisma Muis.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dalam ucapannya menyeru umat Islam khususnya di Sabah supaya mengamalkan dan membudayakan ethos kerja Islam yang dinamik bagi membina teladan baik kepada generasi pewaris masa depan.

"Kita tidak boleh membiarkan diri hanya sekadar berpeluk tubuh, sebaliknya kita perlu bertindak secara proaktif dengan semangat kerjasama yang tinggi serta berganding bahu menggembleng segala kekuatan yang ada dengan strategi yang baharu dan segar bagi mengubah keadaan semasa ke arah lebih baik," katanya.

Sehubungan itu, katanya, semua umat Islam harus bersedia berkorban dan berjuang untuk menjadi insan berguna kepada kemajuan dan kesejahteraan umat berpandukan konsep Al-Itqan (menghasilkan sesuatu yang berkualiti tinggi) dan selari dengan aspirasi serta transformasi kepimpinan negara.

Pada majlis itu, tokoh guru, budayawan, seni lukis dan aktivis dakwah, Datuk Murshidi Nambi dipilih sebagai Tokoh Anugerah Khas (Pengiktirafan Khas) Maal Hijrah Sabah.

Juhar turut menyampaikan Anugerah Khas Tokoh Perwira Negara kepada 10 balu dan anggota keluarga perwira yang terkorban ketika insiden pertempuran dengan penceroboh pengganas Sulu di Lahad Datu.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengetua Maahad Tahfiz As-Sa'idiyyah Mohamad Muhsin Sheikh Ahmad menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1435H Negeri Sembilan pada majlis sambutan di Masjid Negeri malam tadi.

Beliau yang juga seorang pendakwah dan pernah menerima anugerah Tokoh Hafiz Al-Quran peringkat kebangsaan tahun lepas, menerima salinan jubah, pakej umrah dan wang tunai RM10,000 yang disampaikan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Turut hadir Undang Yang Empat dan Tengku Besar Tampin serta Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Di JOHOR BAHRU, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin meminta seluruh umat Islam dan bukan Islam di Johor untuk bersama-sama memahami dan mempraktikkan konsep kesederhanaan dalam kehidupan bagi melawan elemen ketaksuban bagi mengimbangi konsep kehidupan majmuk yang diamalkan di negara ini.

"Saya menyeru umat Islam dan bukan Islam di negeri ini supaya sentiasa bersedia menghulurkan tangan untuk bermuafakat bagi membina benteng perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk," katanya ketika berucap pada sambutan Maal Hijrah peringkat Johor di Pusat Islam Iskandar.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Datuk Mohd Ali Hassan, 75, dipilih sebagai tokoh Maal Hijrah 1435H Johor manakala Allahyarham Mohammad @ Mokhtar Talib atau lebih dikenali sebagai Pak Matlob pula diberikan anugerah khas Maal Hijrah atas sumbangan beliau dalam bidang penulisan.

Di KUANTAN, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah menyeru rakyat supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membanteras kegiatan ajaran sesat daripada bertapak di Pahang.

"Tanpa kerjasama, bantuan dan kesedaran daripada semua pihak ia tidak akan berjaya," titahnya pada majlis sambutan Maal Hijrah 1435 peringkat Pahang di RTM Pahang di sini.

Titah diraja baginda dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas, Syed Ibrahim Syed Ahmad. Turut hadir, Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman.

Baginda bertitah ajaran sesat yang menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat Islam boleh menggugat akidah dan memecahbelahkan umat Islam jika dibiarkan berleluasa.

Pada majlis itu, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin diumum sebagai Tokoh Maal Hijrah tahun ini dan menerima wang tunai berjumlah RM10,000, hadiah iringan serta sijil penghargaan.

Di ALOR SETAR, Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Temenggung Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah berkata pendekatan sederhana dan wasatiyyah menjadi ramuan ubat mujarab dalam memperkasa hubungan masyarakat majmuk yang mencetuskan momentum ke arah mencipta kegemilangan rakyat.

Tunku Sallehudin berkata pendekatan wasatiyyah amat relevan dengan kehendak dan tuntutan semasa untuk memantapkan perpaduan dan penyatuan ummah demi kemajuan negara.

Ini dibuktikan oleh umat Islam yang bersatu di bawah pimpinan Nabi Muhammad S.A.W. sehingga berjaya membangunkan Madinah sebagai sebuah negara Islam yang ditunjangi kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan keharmonian rakyat," katanya ketika berucap pada sambutan Maal Hijrah 1435 peringkat negeri di Dewan Seri Mentaloon.

Pada majlis itu, Tunku Sallehudin menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah 1435H kepada Sheikh Ahmad Salleh, 63, manakala Noor Hidayah Abdullah, 45, menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah bagi Saudara Baru dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000, piala iringan dan sijil.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderuddin Ahmad dan beberapa Exco kerajaan negeri.

Di BUKIT MERTAJAM, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas menyeru seluruh umat Islam supaya menghargai keamanan yang dikecapi sekarang dan sedaya upaya mengekalkannya.

"Kita juga perlu menginsafi dengan nasib yang menimpa saudara kita di Palestin, Mesir dan Syria yang kini hidup dalam keadaan tidak ketentuan," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Maal hijrah peringkat negeri di Politeknik Seberang Perai.

Sementara itu, bekas duta besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Syed Omar Syed Mohamad dipilih sebagai Tokoh Ma'al Hijrah Pulau Pinang atas sumbangannya kepada perkembangan Islam di negeri itu. Beliau menerima wang tunai RM8,000, sijil dan hadiah.

"Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah atas kurniaan ini dan saya berharap sempena Maal Hijrah ini umat Islam di Malaysia dapat bersatu demi agama dan bersama-sama berhijrah ke arah yang lebih baik," katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah itu.

Penceramah bebas Datuk Siti Nor Bahiyah Mahamood, 48, turut dipilih sebagai Tokoh Pendakwah Maal Hijrah 1435 Pulau Pinang dan membawa pulang wang tunai RM3,000, sijil serta hadiah.