Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Agong titah kerajaan laksana kempen antibuli di peringkat sekolah rendah

Astro Awani 18/08/2025 | 05:48 MYT
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil, di Istana Negara hari ini. - Gambar/ Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah agar kerajaan melaksanakan kempen antibuli secara menyeluruh bagi membendung gejala itu sejak di peringkat sekolah rendah.


Ringkasan AI
  • Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah agar kerajaan melaksanakan kempen antibuli secara menyeluruh sejak peringkat sekolah rendah bagi membendung gejala yang boleh merosakkan mental dan emosi serta nilai kemanusiaan.
  • Baginda berkenan menyambut baik pelaksanaan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 sebagai bukti komitmen kerajaan membanteras jenayah buli secara tegas dan menyeluruh merentasi kementerian serta agensi.
  • Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil, mempersembahkan taklimat mengenai komitmen kementerian menangani isu buli serta pelaksanaan sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2025.


Dalam satu kenyataan hari ini, baginda bertitah, gejala buli sekiranya tidak dibendung sejak dari peringkat awal, berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat dan kasih sayang sesama insan.

"Buli bukan sahaja merosakkan mental dan emosi mangsa, malah boleh mengakibatkan pelbagai tragedi.

“Anak-anak perlu diberi penerangan sejak dari usia kecil mengenai perkara ini dan menerusi kempen berkenaan akan membimbing mereka dalam memahami erti saling hormat menghormati dan berdisiplin,” titah baginda pada Isnin.

Baginda juga bertitah, Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 untuk menangani buli turut membuktikan komitmen kerajaan untuk membanteras isu berkenaan secara tegas.

Titah baginda lagi, usaha berkenaan turut memerlukan pendekatan merentasi kementerian dan agensi bagi memastikan jenayah buli ditangani secara menyeluruh.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil, di Istana Negara hari ini.

Pada sesi itu, Fahmi antara lain mempersembahkan komitmen kementerian dalam menangani isu buli serta tindakan yang diambil bagi membanteras isu berkenaan.

Fahmi turut mempersembahkan kepada Seri Paduka Baginda mengenai taklimat pelaksanaan sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2025.






#Fahmi Fadzil #Sultan Ibrahim #Yang di-Pertuan Agong #buli #terkini