KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dititahkan supaya menjadikan aspek penyelidikan dalam bidang baharu seperti robotik dan teknologi tinggi berasaskan kecerdasan buatan sebagai keutamaan sejajar keperluan industri negara masa kini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Canselor UMPSA juga mahu universiti memperkayakan penyelidikan dalam pembangunan mampan dan teknologi hijau serta memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Usaha ini, titah Seri Paduka selaras dengan matlamat pembangunan mampan 2030 dan untuk memenuhi permintaan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13), selain sejajar dengan UMPSA sebagai universiti yang berasaskan sains, teknologi dan kejuruteraan.

"Bagi mencapai hasrat tersebut, universiti ini wajar terus menggorak langkah dalam meningkatkan kolaborasi strategik dengan pelbagai rakan industri serta universiti lain sama ada di dalam mahupun luar negara.

"Pada hemat beta, semua usaha ini bakal memartabatkan keunggulan dan melonjakkan pencapaian penarafan universiti. Momentum kecemerlangan yang terterusan juga boleh membawa sumbangan besar kepada sosioekonomi dan berupaya meningkatkan taraf hidup rakyat," titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Titah Diraja semasa menyempurnakan Majlis Konvokesyen ke-18 UMPSA dan Istiadat Pemasyhuran UMPSA serta Pro-Canselor universiti itu yang berlangsung di Kompleks Sukan UMPSA kampus Gambang di sini, hari ini.

Turut berangkat, anakanda Seri Paduka iaitu Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Raja Kol Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan warkah pemasyhuran Pro-Canselor UMPSA kepada Tengku Hassanal serta berkenan supaya nama Seri Paduka diabadikan pada universiti yang kini berusia 21 tahun.

UMPSA bermula sebagai Universiti Teknologi Malaysia kampus cawangan Pahang sebelum dinaik taraf menjadi Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM) sebelum dijenamakan sebagai Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 1 Feb 2007.

Yang di-Pertuan Agong secara peribadi turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam mengabadikan nama Al-Sultan Abdullah pada universiti, dan cadangan itu titah Seri Paduka dicetuskan oleh Perdana Menteri kesembilan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Beta berdoa dengan penjenamaan ini membawa semangat kepada universiti ini untuk membentuk aspirasi kecemerlangan dalam semua bidang pada masa depan. Usaha berterusan sewajarnya tertumpu kepada pemerkasaan akademik, penyelidikan serta peningkatan kedudukan penarafan serta kebolehpasaran siswazah," titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah juga mengingatkan semua pihak termasuk Lembaga Pengarah, pentadbiran, ahli akademik dan graduan supaya menjaga nama baik universiti seperti 'menatang minyak yang penuh' kerana reputasi universiti akan menjadi tumpuan umum.

"Siswazah yang dilahirkan hendaklah menjadi modal insan berkualiti, berkemahiran tinggi, berdaya saing, beramanah dan berintegriti. Pada masa sama, universiti perlu mengekalkan momentum dalam aspek kualiti pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan serta penerbitan berimpak tinggi," titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah juga menyeru warga UMPSA untuk aktif dalam kerja amal dan sukarela khususnya dalam membantu rakyat yang memerlukan.

Secara kesuluruhannya, majlis konvokesyen kali ini melibatkan sebanyak 4,854 graduan meliputi 70 penerima anugerah Ijazah Doktor Falsafah, Sarjana (161 penerima), Sarjana Muda (2,181 penerima), Ijazah berkembar (34 penerima) dan Diploma (961) serta 1,447 graduan program pembelajaran sepanjang hayat UMP Advanced.

-- BERNAMA