Agong zahir nasihat tegas kepada PTD baharu, pastikan junjung integriti dan amanah

Sultan Ibrahim (kanan) berkenan menerima mengadap Jeneral Azhan - PTD yang baharu di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada Rabu.- GambarFacebook/ Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan nasihat tegas kepada Panglima Tentera Darat (PTD) yang baharu, Jeneral Datuk Azhan Md Othman agar memastikan seluruh warga Tentera Darat Malaysia (TDM) berpegang teguh kepada nilai integriti dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
Titah Seri Paduka Baginda, rasuah merupakan musuh utama kepada kekuatan dan kredibiliti angkatan pertahanan negara, serta sebarang bentuk salah guna kuasa atau penyelewengan tidak boleh diterima sama sekali.
Sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan bahawa kepemimpinan berintegriti bermula dari peringkat tertinggi, dan PTD baharu perlu menjadi contoh teladan dalam membudayakan tadbir urus yang bersih, telus, serta bertanggungjawab.
“Saya berharap TDM terus dihormati dan diyakini rakyat sebagai sebuah angkatan yang profesional serta bebas daripada amalan rasuah demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara,” titah Sultan Ibrahim.
Dalam titahnya, Seri Paduka Baginda juga menekankan mengenai isu ‘orang tengah’ atau ejen di Kementerian Pertahanan, yang sepatutnya tidak dibenarkan terlibat dalam urusan rasmi.
Terdahulu, baginda berkenan menerima mengadap PTD yang baharu, Jeneral Datuk Azhan Md Othmandi Istana Bukit Tunku, di sini, Rabu.
Azhan secara rasmi dilantik sebagai PTD ke-31 berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Pelantikan berkenaan adalah selaras dengan keputusan Majlis Angkatan Tentera ke-631 pada 19 November 2025 dan diperkenankan Sultan Ibrahim pada 1 Disember 2025.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


