PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, barisan Jemaah Menteri, bekas perdana menteri dan bekas menteri yang telah berkhidmat sepanjang tempoh lima tahun baginda memegang tampuk pemerintahan, sejak 31 Jan 2019, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Fahmi yang juga jurucakap bagi Kerajaan MADANI berkata penghargaan itu disampaikan Al-Sultan Abdullah kepada Anwar semalam, semasa sesi menghadap untuk mesyuarat pra-Kabinet kali ke-160 dan yang terakhir, di Istana Negara, semalam, sebelum Seri Paduka menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Jan ini.

"Jemaah Menteri ambil maklum sembah menghadap Perdana Menteri semalam, dengan Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk sampaikan watikah kepada Jemaah Menteri dan telah dibacakan Perdana Menteri pada Mesyuarat Kabinet hari ini.

"Dalam titah yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong kepada Jemaah Menteri, baginda mengingatkan agar kami sentiasa berkhidmat demi negara dan tidak memikirkan tentang kedudukan atau harta benda untuk tujuan peribadi," katanya.

Fahmi berkata Seri Paduka turut berkenan berkongsi sepotong ayat hasil nukilan Imam Ghazali iaitu "sebenarnya kerosakan rakyat disebabkan oleh kerosakan para pemimpinnya dan kerosakan pemimpin adalah disebabkan oleh kerosakan ulama dan kerosakan ulama disebabkan kecintaan kepada harta dan kedudukan".


BERITA LANJUT MENYUSUL