SANDAKAN: Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) mendidik anak muda menjadi insan benar, amanah, berprinsip dan berakhlak, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Ahmad Sabri Saad.
Beliau berkata dalam pengakap integriti bukan pilihan tetapi kewajipan, dan pemimpin perlu terlebih dahulu memperlihatkan nilai itu dalam tindakan, keputusan dan budaya kerja mereka.
Advertisement
“Kepimpinan sebenar haruslah melalui teladan, pemimpin pengakap perlu menjadi contoh hidup bagi memastikan nilai-nilai disiplin dan integriti itu diterapkan kepada ahli muda,” katanya dalam kenyataan sempena Majlis Apresiasi Kecemerlangan PPM Sabah di sini semalam.
Beliau berkata PPM Sabah yang memiliki barisan pemimpin berwibawa mampu melahirkan lebih banyak pengakap, sekali gus memimpin masyarakat dengan masa depan berkualiti.
“PPM Sabah mempunyai kedudukan penting dalam landskap kepengakapan negara kerana memiliki kekuatan semangat akar umbi serta penglibatan komuniti yang kukuh,” katanya.
Ahmad Sabri berkata PPM Sabah pada Ahad melaksanakan Majlis Apresiasi Kecemerlangan yang mengangkat elemen integriti dan kepimpinan melalui teladan sebagai mesej utama dalam memperkukuh gerakan kepengakapan di negeri berkenaan.
Sementara itu, beliau berkata PPM Sabah mempunyai 18,947 ahli.
-- BERNAMA