KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) disaran memberikan rebat 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan bil elektrik dari bulan Januari ke Mac tahun ini susulan fenomena cuaca panas yang masih melanda negara.

Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata rebat itu dicadang hanya diberikan kepada rumah yang bernilai RM300,000 ke bawah bagi penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi meringankan beban kewangan yang dihadapi mereka.

"Kami di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan amat terkesan dengan keadaan gelombang haba ini. Kehidupan harian menjadi lebih mencabar.

"Secara langsung, kos penggunaan elektrik menjadi berlipat ganda berikutan penggunaan pendingin hawa dan kipas yang berpanjangan," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara hari ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), negara dijangka mengalami cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan berikutan ketiadaan hujan dalam tempoh yang lama susulan fasa akhir Monsun Timur Laut yang diramal berterusan sehingga penghujung Mac ini.

Senator Isaiah Jacob pula mencadangkan agar kerajaan mewujudkan jabatan khas bagi menjaga dan memelihara hal ehwal golongan orang kurang upaya (OKU).

"Jabatan ini akan menjaga, melindungi dan memantau golongan itu sepertimana fungsi Jabatan Kemajuan Orang Asli. Maka kita akan sediakan apa yang OKU perlukan selain kemudahan yang mengikut piawaian.

"Jadi saya merayu dan memohon agar kerajaan menubuhkan jabatan ini dalam kita membawa martabat OKU ke masa hadapan," katanya.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menubuhkan perpustakaan khas bagi golongan istimewa ini khasnya OKU penglihatan, pendengaran dan pertuturan.

"Mereka ini perlu menggunakan alat-alat yang direka khas, jadi dengan adanya penubuhan perpustakaan sebegini ia sekali gus dapat memberi kesedaran kepada orang ramai berkaitan pengendalian alat tersebut," katanya.

Senator Tan Sri Low Kian Chuan pula mencadangkan agar kerajaan mempertimbang untuk mengkaji semula Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional bagi menghukum pihak yang mempermain isu sentimen 3R (kaum, agama dan institusi diraja).

"Perpaduan kaum kunci utama kemajuan negara. Oleh itu, tepat pada masanya untuk RUU berkaitan Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional. Ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan MADANI untuk mengurangkan sentimen perkauman dan agama," katanya.

Beliau berkata undang-undang itu penting untuk mewujudkan ekosistem bagi mencegah isu perkauman dan diskriminasi berikutan naratif berterusan sentimen kaum dan agama yang dimainkan ketika ini dikhuatiri mampu menyemarakkan api kebencian serta perpecahan.

Sebelum ini, RUU berkenaan tidak diteruskan di Parlimen pada 2020 selepas Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique di Dewan Rakyat ketika itu memaklumkan bahawa undang-undang sedia ada sudah mencukupi bagi menangani isu berkaitan agama dan kaum.

-- BERNAMA