Skip to main content

Malaysia

Lelaki Rohingya didakwa pandu berbahaya sebabkan kematian penunggang motosikal

71743102937_courtgavel.jpg
Dia didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000. -Gambar hiasan

MARANG: Seorang lelaki Rohingya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan memandu kereta secara berbahaya hingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Rusila di sini, minggu lepas.

Shah Dullah Abul Hashim, 20, yang tidak bekerja didakwa memandu sebuah kereta Proton Saga secara berbahaya hingga menyebabkan kemalangan dengan sebuah motosikal Yamaha RXZ dan kematian terhadap penunggangnya Saifullah Isyraf Shamsudin, 27.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kilometer 12.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Rusila di sini, pada 6 petang, 27 Mei lepas.

Dia didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000.

Pendakwaan dikendalikan Maisarah Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Ramlan Taib. 

Majistret Nur Athirah Hashim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, serta menetapkan 8 Julai depan untuk sebutan semula kes.

 -- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement