Lapan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam peringkat persekutuan menerima watikah pelantikan dan mengangkat sumpah hari ini.

Watikah diserahkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, yang juga bertindak selaku setiausaha jawatankuasa tersebut.

Ahli jawatankuasa berkenaan diketuai Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, sebagai pengerusi.

Selain Ahmad Sarji dan Syed Danial, jawatankuasa itu turut dianggotai Orang Kaya-kaya Imam Paduka Tuan (Perak) Datuk Dr Afifi al-Akiti (timbalan pengerusi).

Tokoh-tokoh lain ialah Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan, Datuk Dr Nooh Gadot, Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz, serta dua wakil dari Sabah dan Sarawak, Datuk Aidi Mokhtar dan Dr Abdul Rahman Junaidi.

Jawatankuasa itu akan berperanan dalam proses menambahbaik, melakukan perubahan dan menstruktur semula fungsi serta hala tuju organisasi pentadbiran Islam di negara ini.

"Jawatankuasa telah mengenal pasti kumpulan-kumpulan sasar yang akan dijemput untuk memberikan pandangan dan input berkaitan, berdasarkan penetapan lima kluster yang secara inklusif mewakili sektor Syariah dan perundangan, kewangan dan ekonomi, pengurusan, pendidikan dan dakwah.

"Selain itu, proses pengumpulan data ini turut melibatkan pihak-pihak lain yang berkepentingan dalam kalangan ahli akademik, ahli politik, wakil pertubuhan, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan wartawan yang turut diundang untuk memberikan pandangan mereka kepada Jawatankuasa, termasuk pandangan dan sumbang saran dalam kalangan orang bukan Islam," kata Ahmad Sarji.

Kesemua ahli jawatankuasa ini dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dengan perkenan Raja-raja Melayu yang bersidang pada 10 Julai lepas, menjelang Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-249.

Pada 30 Julai lalu, Syed Danial berkata penubuhan jawatankuasa itu antara lain bertujuan menambah baik institusi Islam di peringkat persekutuan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof berkata, penubuhan jawatankuasa itu turut dipersetujui dan diluluskan kabinet.

Katanya, ia sekali gus menepis dakwaan kononnya penubuhan itu disebabkan kerajaan Pakatan Harapan tidak dipercayai oleh Raja-raja Melayu seperti anggapan sesetengah pihak.