KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang meneliti pelaksanaan cukai di dalam negara termasuk peningkatan kadar baharu cukai perkhidmatan yang berkemungkinan memberi kesan secara langsung kepada rakyat.

Lim Guan Eng (PH-Bagan) meminta kerajaan menyemak semula kadar baharu cukai perkhidmatan dan cukai barang bernilai tinggi atau cukai barang mewah bagi menilai impaknya kepada peniaga dan rakyat.

"Kalau ia menambah beban kewangan kepada peniaga dan rakyat kita boleh tangguh sekejap kerana (keadaan) pertumbuhan ekonomi yang tak menentu. Kita juga tahu bahawa keadaan ekonomi akan pulih akhir tahun ini, termasuk nilai mata wang ringgit dijangka pulih pada separuh kedua tahun ini.

"Jadi, adalah diharapkan pertimbangan dan semakan semula boleh dibuat supaya kadar cukai baharu termasuk cukai perkhidmatan lapan peratus dipertimbangkan dan disemak semula," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berpendapat adalah lebih baik kerajaan melaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) berbanding menaikkan kadar cukai perkhidmatan.

"Cukai perkhidmatan naik dua peratus tapi kutipan (cukai) kerajaan bertambah hanya dalam RM3 bilion, jadi jika betul mahu cari duit, GST baru dapat (lebih banyak) duit, pada masa sama laksanakan subsidi bersasar kerana akan bantu pula kerajaan jimat berbilion ringgit," katanya.

Antara Ahli Parlimen yang turut membangkitkan isu cukai berkenaan ialah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (GRS-Keningau), Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) dan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas).

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA