Ahli Parlimen Padang Serai mengaku tidak bersalah subahat kes rasuah RM400,000

Azman Nasrudin (dua dari kiri) didakwa menerima RM400,000 sebagai ganjaran membantu sebuah syarikat mendapatkan projek daripada Kedah Agro Holding Berhad. - Gambar Astro AWANI
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin didakwa bersubahat untuk menerima rasuah RM400,000 berkaitan penternakan lembu milik Kerajaan Negeri Kedah, lima tahun lalu.
Bagaimanapun, wakil rakyat daripada Perikatan Nasional itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Azman didakwa bersubahat dengan mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Agro Holding Berhad (KAHB) untuk mengeluarkan surat tawaran kepada Mohd Hassanaim Fauzi, 39, yang membayar rasuah tersebut.
Rasuah itu kemudian diberikan kepada ahli perniagaan, Amar Assuat Abu Bakar.
Wang itu sebagai upah membantu Mohd Hassanaim mendapatkan Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro, Kubang Pasu daripada KAHB.
Kesalahan didakwa berlaku di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi pada 23 Jun 2020 ketika Azman merupakan Exco Pertanian dan Industri Makanan Kedah.
Bapa kepada lima anak yang berusia 53 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) akta sama.
Sementara itu, Amar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM800,000 daripada Hassanaim bagi membantunya mendapatkan projek sama.
Lelaki berusia 41 tahun itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi antara 20 Jun 2020 dan 23 Jun 2020 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Nasir menetapkan ikat jamin RM75,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan mengarahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai, selain turut diarah melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin manakala peguam N Surendran, Sasha Lyna Abdul Latif serta Nizamuddin Hamid mewakili Azman dan Amar diwakili oleh R Yogananthan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 13 Januari depan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


