N.Sembilan berpotensi jadi hab utama data dengan pembinaan Kampus Pusat Data Hijau

Aminuddin berkata pusat itu juga akan membina keupayaan tempatan dalam menyokong rantaian bekalan teknologi global khususnya dalam bidang analitik data berskala besar, automasi industri dan penggunaan AI yang dijangka terus meningkat. - Foto BERNAMA
SEREMBAN: Negeri Sembilan berpotensi muncul sebagai antara hab utama data dan teknologi di Malaysia susulan pembangunan Kampus Pusat Data Hijau Nexus Yang di Taman Perindustrian NS Semiconductor Valley (NSSV) di sini.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pembinaan kampus pusat data hijau itu merupakan pelaburan strategik yang selari dengan hala tuju pembangunan berteknologi tinggi negeri serta dasar utama kerajaan sekali gus memperkukuh infrastruktur digital negara.
Beliau berkata projek oleh Vena Nexus, sebahagian daripada Vena Group, itu akan dilaksanakan secara berfasa dengan pelaburan modal jangka masa panjang dianggarkan berjumlah RM20 bilion itu selain dijangka siap pada suku pertama 2027.
"Pembangunan projek ini akan memberikan peluang lebih baik kepada masyarakat setempat, termasuk pekerjaan yang lebih bernilai tinggi. Apabila pembinaan selesai, kampus pusat data hijau ini dijangka mewujudkan hampir 200 peluang kerja berkemahiran tinggi termasuk kejuruteraan dan operasi.
"Penyediaan kampus pusat data hijau ini juga bertepatan dengan perkembangan teknologi digital negara. Dunia melangkah pantas ke arah ekonomi berasaskan data dan kecerdasan buatan (AI), inisiatif seperti ini amat penting bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing," katanya di sni, pada Isnin.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah kampus pusat data hijau itu di sini.
Turut hadir Ketua Global Vena Nexus dan Ketua Pegawai Pelaburan Vena Group Simone Grasso.
Nexus Yang meliputi kawasan seluas 157 ekar akan menjadi kampus pusat data hiperskala dan sedia Al dengan sasaran awal beban IT sekitar 350 megawatt.
Projek ini direka untuk menyokong pelbagai aplikasi pengkomputeran merangkumi perkhidmatan pengkomputeran awan berskala besar hingga keperluan teknologi AI berketumpatan tinggi sekali gus menyediakan kapasiti kepada penyedia awan global, perusahaan serta pihak hiperskala di seluruh rantau Asia Pasifik.
Aminuddin berkata pusat itu juga akan membina keupayaan tempatan dalam menyokong rantaian bekalan teknologi global khususnya dalam bidang analitik data berskala besar, automasi industri dan penggunaan AI yang dijangka terus meningkat.
Lebih penting lagi, limpahan ekonomi daripada industri semikonduktor akan merangsang pertumbuhan industri sokongan dan pelengkap lain seperti logistik, pembinaan, tenaga boleh baharu, penyelenggaraan industri, latihan teknikal serta perusahaan kecil dan sederhana tempatan, katanya.
"Melalui pendekatan pembangunan yang bersepadu, Negeri Sembilan sedang membina ekosistem ekonomi yang bukan sahaja berteraskan teknologi tinggi malah inklusif dan berupaya memberi manfaat langsung kepada pelbagai lapisan masyarakat," katanya.
Beliau berkata pembangunan itu juga diyakini menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem pusat data serantau sekali gus memperkukuh kedudukan Negeri Sembilan dalam peta industri digital Asia Tenggara di samping menyokong pertumbuhan yang mampan.
"Saya menyambut baik komitmen Vena Nexus untuk mengintegrasikan penggunaan tenaga boleh baharu serta sistem penyimpanan tenaga secara langsung dengan infrastruktur digital kampus ini selain mengamalkan pendekatan pengurusan tenaga progresif dan berorientasi masa hadapan," katanya.
Beliau berkata pendekatan "grid-responsive" secara sukarela membolehkan penggunaan bekalan grid dioptimumkan apabila kapasiti mencukupi sekali gus menyokong kestabilan sistem tenaga negara dan membantu mengurangkan kesesakan tenaga serta kos sistemik.
"Saya yakin penglibatan Kampus Pusat Data Hijau Nexus Yang akan menjadi pemangkin kepada perkembangan NSSV secara menyeluruh, seterusnya muncul sebagai nadi baharu kepada pertumbuhan ekonomi digital dan teknologi negara," katanya.
Sementara itu, Simone berkata Negeri Sembilan mempunyai peluang untuk menerajui keperluan yang semakin meningkat di rantau ini, iaitu pertumbuhan digital yang serasi dengan peralihan tenaga.
"Kedudukan pusat ini secara strategik hampir dengan lokasi utama serta keterhubungan dengan Greater Kuala Lumpur dan hab selatan Johor serta Singapura adalah sesuai untuk pelaburan digital bernilai tinggi dan jangka masa panjang," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


