Anggota Parlimen Padang Serai dari PKR N. Surendran digantung daripada persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan berkuat kuasa serta merta kerana membuat pertuduhan liar terhadap Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia di luar Dewan, Selasa lalu.

Usul yang dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri itu akhirnya diluluskan melalui undi belah bahagi setelah dewan gagal mencapai kata sepakat untuk membahaskannya.

Tentangan hebat dibuat oleh Anggota Parlimen pembangkang yang mempersoal keperluan usul itu dibentang dan mencetuskan perbalahan hangat selama hampir 90 minit antara Anggota Parlimen dari kedua-dua belah.

Undian belah bahagi itu diputuskan oleh Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee dan menyaksikan seramai 92 Anggota Parlimen Barisan Nasional menyokongnya.

Tiada undi membantah diperolehi kerana Anggota Parlimen dari pembangkang enggan mengundi.

Sebelum itu, Kiandee juga telah membuat undian secara lisan yang juga melihat lebih ramai Anggota Parlimen menyokong usul itu diluluskan berbanding menolak, namun keputusan itu tidak diterima anggota Parlimen pembangkang.

Selasa lepas, Surendran telah diarahkan keluar dari dewan selama dua hari oleh Pandikar Amin kerana mencabar keputusan Speaker menolak usulnya untuk membahas isu perobohan struktur tambahan di kawasan luar kuil Sri Maneswarar Kaliyaman, di Jalan P. Ramlee di sini.

Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel pada Isnin lepas berkata kerja perobohan hanya membabitkan gerai dan bahagian sisi kuil itu manakala bangunan rumah ibadat itu tidak diusik dalam operasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan struktur tambahan di kuil itu pada Ahad lepas.

Surendran yang berasa tidak puas hati kemudiannya telah membuat sidang akhbar di luar dewan dan menuduh Pandikar Amin bersikap berat sebelah dan menyamakan Parlimen Malaysia sebagai Parlimen Zimbabwe yang dimiliki Presiden Robert Mugabe.

Kiandee memberitahu usul itu perlu dibentangkan kerana Surendran menghina Speaker dan institusi Parlimen, justeru menjadikan isu itu berkepentingan orang ramai.

Penjelasan itu tidak diterima Anggota Parlimen pembangkang yang menuduh usul itu berkepentingan peribadi. Malah mereka telah bangun beramai-ramai untuk menentang dan bertindak mengoyak notis usul tersebut yang telah diedar.

Azmin Ali (PKR-Gombak) pula mempersoal peraturan mesyuarat yang digunakan untuk membolehkan usul itu dikemukakan.

Kiandee menjelaskan ia memenuhi kehendak peraturan mesyuarat 27(3) yang menyatakan usul itu dibawa seorang menteri yang menjadi wakil kepada kerajaan dan Speaker juga berpuas hati dengan cadangan usul itu.

Sementara itu, Tan Sri Shahrir Abdul Samad (BN-Johor Baharu) berkata tuduhan Surendran bahawa Parlimen Malaysia seperti `Parlimen Robert Mugabe' adalah satu penghinaan.

"(Surendran) kata Robert Mugabe Parlimen, apakah saya yang turut berada dalam Parlimen ini tidak terasa dengan tuduhan yang dikemukakan kepada Parlimen," katanya.

Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) pula menyifatkan pembangkang sebagai 'sarkas' kerana membuat kecoh dalam Dewan dan tidak mematuhi peraturan.