AYER KEROH: Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut Insentif Program Penjana Kerjaya 1.0 dan 2.0 (Penjana), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang membabitkan nilai RM 1.12 juta.

Tertuduh, Mohd Eszahar Mansor, 38, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah, sejurus tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, Mohd Eszahar diituduh memperdayakan Perkeso dengan mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu dalam borang Pengesahan Pekerja Program Insentif untuk menuntut insentif di bawah Penjana 1.0 dan 2.0 kepada dua Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso.

Tertuduh didakwa mengemukakan 103 nama pekerja baharu dalam dokumen berkenaan sedangkan nama tersebut bukan pekerja syarikatnya.

Kesalahan itu dilakukan di Wisma Perkeso, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MOTC), Ayer Keroh antara 6 Oktober 2020 hingga 21 April 2021 lalu.

Justeru, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai butiran palsu jika boleh dinilai atau RM 10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala Mohd Eszahar diwakili Peguam, Azrul Zulkifli Stork.

Hakim Elesabet membenarkan tertuduh diikat jamin RM 30,000 bagi semua pertuduhan.

Tertuduh diperintah melapor diri di pejabat SPRM, Seremban pada minggu pertama setiap bulan, menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 10 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.