RAUB: Seorang ahli perniagaan wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu atas lima tuduhan terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM2,042,628.84.

Tertuduh, Norida Syakira Agus Hadi, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Bagi pertuduhan pertama, antara 16 Mei 2021 dan 10 Jun 2021 di Maybank Islamic Berhad Cawangan Kuala Lipis,  tertuduh telah menggunakan wang berjumlah RM1,317, 658.84 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik syarikat tertuduh,  DSS Berkat Enterprise bagi tujuan pembelian perniagaan Sushi Go milik Chang Yi Hern. 

Bagi pertuduhan kedua,  tertuduh pada 8 Januari 2021 dan 20 Jun 2021 di Maybank Islamic Berhad Cawangan Kuala Lipis telah memindahkan wang berjumlah RM242, 770 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik Syarikat DSS Berkat Enterprise kepada akaun Islamic Berhad milik Mohamad Hanif Omar.

Pertuduhan ke tiga pula,  tertuduh pada 11 Januari 2021 dan 1 Jun 2021 di Maybank Islamic Berhad Cawangan Kuala Lipis telah memindahkan wang berjumlah RM369, 700 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik syarikat DSS Berkat Enterprise kepada akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik syarikat sama.

Manakala bagi pertuduhan keempat,  tertuduh pada 31 Januari 2021 hingga 20 Jun 2021 di Maybank Islamic Berhad Cawangan Kuala Lipis telah memindahkan wang berjumlah RM32, 500 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik syarikat DSS Berkat Enterprise kepada akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik tertuduh.

Bagi pertuduhan kelima, tertuduh pada 17 Mei 2021 di Maybank Islamic Berhad Cawangan Kuala Lipis telah melupuskan wang berjumlah RM80, 000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik syarikat DSS Berkat Enterprise melalui sekeping cek. 

Bagi semua pertuduhan, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah subseksyen 4(1) (b)  Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,  Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2021 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4 (1) akta sama yang membawa hukuman tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Zainal meminta ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan dua orang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun peguam mewakili tertuduh, M Manoharan meminta wang jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh bersama suami telah hilang punca pendapatan selain turut memiliki dua anak kecil.

Ahmad Faizadh kemudiannya menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan meletakkan syarat tambahan, tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran setiap bulan selain membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Tertuduh dilihat menangis selepas selesai perbicaraan sebelum diikat jamin oleh suaminya yang turut hadir di mahkamah.