Seorang ahli perniagaan dijatuhi hukuman penjara 92 tahun dan 44 kali sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini pada hari ini selepas mengaku bersalah terhadap 44 pertuduhan menipu pada 2018, melibatkan pelaburan baja dan penanaman kelapa sawit.

Tertuduh, Ling Tzer Sheng, 29, didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh bagaimanapun hanya akan menjalani hukuman selama 40 bulan penjara selepas Majistret Muhammad Faizal Che Saad membenarkan tempoh hukuman  dijalankan secara serentak manakala 44 sebatan sebat dikekalkan.

Tzer Ling akan menjalani hukuman di penjara Bintulu.

Tertuduh dalam mitigasinya yang dibacakan oleh peguam bela, Elaine Ting telah memohon pengampunan atas kesalahannya dan merayu agar hukumannya dikurangkan atas beberapa alasan.  

Beliau memberitahu dia tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada penipuan itu.  Malah, dia dan keluarganya juga terpaksa menjual harta benda dan kenderaan mereka untuk membayar kedua-dua pengadu dalam kes itu.

Sebagai pencari nafkah tunggal  dalam keluarganya, tertuduh perlu memikirkan anak lelakinya yang baru lahir pada 11 November 2019. 

Dengan pengakuan atas semua tuduhan, dia telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, Inspektor Awang Iswandi bagaimanapun bertegas agar mahkamah mengekalkan hukuman memandangkan Tzer Sheng pernah disabitkan atas kesalahan sebelumnya.

Menurut fakta kes itu, tertuduh bersama dua orang lelaki yang berumur 22 dan 26 tahun, masing-masing telah menyertai satu pelaburan dalam perniagaan baja dan penanaman kepala sawit yang tidak wujud.

Tertuduh telah memberitahu mangsa bahawa wang dari pelabur akan digunakan untuk membeli dan menjual baja dan keuntungan akan dikongsi dalam kalangan pelabur.

Mangsa juga dijanjikan keuntungan sebanyak 10 peratus dalam tempoh tujuh hari selepas itu yang mana mereka telah membayar sejumlah wang sebagai modal pelaburan.

Namun, mangsa tidak menerima sebaramg keuntungan daripada pelaburan itu kerana tertuduh telah menghilangkan diri sejak  Januari 2019 dan tidak dapat dihubungi selepas itu.