BUKIT MERTAJAM: Seorang ahli perniagaan wanita kerugian RM534,500 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan 'phone scam' yang mendakwa mangsa terlibat dengan kegiatan penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Tan Cheng San, berkata wanita berusia 53 tahun itu membuat laporan polis berhubung kejadian itu, kelmarin, selepas menyedari telah menjadi mangsa sindiket penipuan.

"Mangsa mendakwa telah menerima panggilan dari suspek pertama yang menyamar sebagai pegawai dari 'Pos Laju' dan memaklumkan terdapat satu bungkusan yang tidak dituntut atas namanya yang mengandungi barang salah seperti kad pengenalan serta kad bank milik orang lain.

"Selepas itu, mangsa terima panggilan dari suspek kedua yang menyamar sebagai anggota polis dari Kontijen Perlis yang akan mengambil laporan polis kerana ada individu lain telah menggunakan maklumat wanita tersebut untuk barangan salah terbabit," katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya, wanita itu kemudiannya telah dihubungi oleh suspek ketiga yang menyamar sebagai pegawai polis dan memaklumkan mangsa telah terlibat dalam penyeludupan dadah serta pengubahan wang haram dan diminta untuk laporan diri setiap empat jam sekali kepadanya.

Tan berkata kemudian wanita itu telah diminta oleh suspek ketiga tersebut untuk memuat turun aplikasi 'BNM' dan turut mengarahkan untuk membuka akaun bank yang baharu jika tidak mahu ditahan oleh pihak polis.

Katanya, suspek turut mengarahkan wanita itu memasukkan maklumat akaun bank yang baharu dibuka dalam aplikasi 'BNM' tersebut dan memindahkan wang mangsa sebanyak RM466,500 ke akaun bank tersebut kononnya bagi tujuan siasatan.

"Selain itu, mangsa juga diarahkan untuk tidak menyentuh akaun dan wang dalam akaun aplikasi tersebut selama tiga bulan dan dalam masa sama wanita itu turut diarahkan oleh suspek ketiga untuk melakukan tiga kali pindahan wang ke dua akaun berbeza membabitkan jumlah RM68,000," katanya.

Katanya, wanita itu hanya menyedari telah ditipu setelah membuat semakan terhadap akaun banknya dan mendapati wang simpanannya sebanyak RM534,500 telah dipindahkan ke beberapa akaun lain.

"Polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan suspek dan rangkaian sindiket yang terlibat dalam kegiatan itu dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu," katanya.

-- BERNAMA