Anggota Umno di Kelantan diminta memilih pemimpin yang terbaik dan disenangi rakyat pada mesyuarat cawangan dan bahagian masing-masing.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata barisan pemimpin yang bakal dipilih itu mestilah mewakili semua golongan seperti profesional, tokoh agama, pegawai kerajaan dan badan bukan kerajaan.

"Saya berharap pemilihan ini untuk memilih pemimpin yang terbaik kerana pemimpin inilah yang akan menampilkan imej parti. Kalau pemimpin cawangan dan bahagian tidak disenangi rakyat sudah pasti imej parti untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 kelak akan terjejas," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada imam dan anggota jawatankuasa 585 masjid di negeri ini oleh Kelab Putera 1Malaysia di sini hari ini.

Mustapa berharap tidak akan wujud berpuak-puak ketika proses pemilihan itu kerana perbuatan berkenaan hanya akan menjejaskan perpaduan dalam parti.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemilihan jawatan Majlis Tertinggi Umno akan diadakan serentak dengan mesyuarat perwakilan bahagian pada 5 Okt ini.

Najib, yang juga Presiden Umno, berkata pemilihan jawatan tertinggi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno akan diadakan secara berasingan pada 28 Sept ini. Beliau turut mengumumkan Perhimpunan Agung Umno akan diadakan dari 2 hingga 7 Dis ini.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata sumbangan jubah, buah kurma dan air zam zam itu dihulurkan perdana menteri melalui kelab tersebut untuk diagihkan kepada semua masjid di negara ini sebagai menghargai jasa imam dan anggota jawatankuasanya.

Pada majlis itu, Yayasan 1Malaysia Development Berhad turut memberi sumbangan untuk majlis berbuka puasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada lima kawasan parlimen dan 12 Dewan Undangan Negeri yang dimenangi Barisan Nasional pada PRU13.