KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan, pelantikan Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Datuk Seri Eizlan Yusof untuk berkhidmat bersamanya sebagai tugasan 'khidmat negara'.

Menjelaskan isu pelantikan tersebut di Dewan Rakyat, Saifuddin berkata, penyertaan kedua-dua anak seni itu adalah seiring penggubalan kerangka dasar luar yang baharu.

"Sebenarnya, Ahmad Idham Ahmad Nazri meletakkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan berkhidmat kepada saya menggunakan jawatan Pegawai Tugas-Tugas Khas yang sedia ada.

"Cuma saya menggunakan istilah Setiausaha Kebudayaan kepada Menteri Luar untuk beliau.

"Sebenarnya, beliau buat 'national service' kerana beliau meletakkan jawatan JUSA B dan turun ke jawatan Gred 54.

"Tidak ada kereta, pemandu, pejabat, mahupun pembantu... cuma ada bilik kecil sahaja sebelah pejabat saya.

"Manakala Eizlan Yusof yang saya lantik sebagai Perunding Kreatif kepada Menteri Luar Negeri, kita (kerajaan) tidak bayar beliau apa-apa gaji.

"Beliau betul-betul buat 'national service'," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan di peringkat dasar bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022).


Ahmad Idham, Eizlan Yusof sumbang khidmat negara - Saifuddin Abdullah

Awal bulan ini, Saifuddin mengumumkan pelantikan Ahmad Idham dan Eizlan Yusof masing-masing sebagai Setiausaha Kebudayaan dan Perunding Kreatif di pejabat Menteri Luar.

Menurut Saifuddin, pelantikan dua anak seni itu selaras dengan objektif membangunkan Diplomasi Budaya Malaysia di bawah Kerangka Dasar Luar Malaysia yang bertujuan untuk mewujudkan kaedah baharu bagi mempamerkan identiti dan nilai kebangsaan di samping memaparkan nilai-nilai kepelbagaian dan kepelbagaian budaya serta menggalakkan promosi dan pertukaran budaya.

BACA: Idham dilantik Setiausaha Kebudayaan, Eizlan Perunding Kreatif di Kementerian Luar

Mengulas lanjut, Saifuddin menegaskan kerangka asas dasar luar adalah masih kekal seperti melibatkan ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dasar berkecuali dan sebagainya.

Namun katanya, terdapat beberapa pendekatan dan bidang baharu yang akan diterokai termasuk diplomasi kebudayaan.