Kerajaan sedang melakukan kajian terperinci dan mengumpul data menyeluruh bagi mengenal pasti segala masalah dan projek di kawasan luar bandar, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata ini berikutan langkah kerajaan yang akan meningkatkan lagi peruntukan pembangunan di kawasan luar bandar supaya selaras dengan pembangunan di kawasan bandar.

"Kerajaan serius dalam membangunkan kawasan luar bandar kerana ia antara penyumbang pendapatan kepada ekonomi negeri dan negara," katanya kepada pemberita pada majlis perjumpaan dengan pemimpin Umno Bahagian Raub dan Lipis di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno berkata Jawatankuasa Khas Pendaftaran Pemilih perlu ditubuhkan segera di semua Bahagian Umno bagi mendaftar mereka yang berumur 21 tahun ke atas sebagai pengundi untuk pilihan raya umum ke-14.

Katanya langkah proaktif itu bagi memastikan semua yang layak didaftar sebagai pemilih.

"Individu telah didaftar ini akan diberi penerangan dari semasa ke semasa berkaitan dengan isu-isu semasa terutama berkaitan dengan survival bangsa dan negara," katanya.