MALAYSIA
Ahmad Maslan tinjau projek pembinaan jambatan Pulau Tuba ke Pulau Dayang Bunting

Timbalan Menteri Kerja Raya meninjau projek pembinaan jambatan dari Pulau Tuba ke Pulau Dayang Bunting di Langkawi. - Foto FB JKR
ALOR SETAR: Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini meninjau projek pembinaan jambatan dari Pulau Tuba ke Pulau Dayang Bunting di Langkawi yang sedang dalam perancangan dan diluluskan oleh Kementerian Kewangan.
Ringkasan AI
- Projek jambatan dua lorong sepanjang 1.04 km dari Pulau Tuba ke Pulau Dayang Bunting diluluskan di bawah RMK-12 Rolling Plan 3, bagi menggantikan jambatan sempit sedia ada dan meningkatkan akses serta keselamatan penduduk.
- Skop kerja merangkumi pembinaan jambatan, jalan tuju, pemasangan lampu jalan, kerja geoteknik dan alam sekitar, dengan status semasa di peringkat perolehan; Surat Setuju Terima (SST) dijangka dikeluarkan pertengahan 2026.
- Projek bernilai RM90 juta ini merupakan komponen terbesar daripada 11 projek pembangunan di Langkawi, dan diselaraskan dengan objektif Program MYJalan serta aspirasi Malaysia MADANI untuk kesejahteraan rakyat.
"Jambatan ini terletak di antara Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting yang merentasi Selat Bagan Nyior dan menjadikannya laluan penting serta jaringan utama infrastruktur yang sempurna, selesa dan selamat. Ia bakal melancarkan mobiliti dan keterangkuman untuk kemudahan perhubungan dalam sebarang cuaca dan pembangunan sosioekonomi yang inklusif bagi meningkatkan taraf hidup penduduk.
"Projek ini akan melibatkan kerja-kerja pembinaan jambatan keseluruhannya sepanjang 1.04 kilometer (km) yang merangkumi jambatan sepanjang 0.38km dan jalan tuju sepanjang 0.66km dengan spesifikasi Jabatan Kerja Raya (JKR) R1(dua lorong)," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, skop kerja projek berkenaan turut melibatkan kerja-kerja geoteknik, pemasangan perabot jalan, pemasangan lampu jalan, kerja-kerja alam sekitar dan pengambilan tanah.
"Sehingga Julai 2025, status pelaksanaan projek masih di peringkat perolehan dan Surat Setuju Terima (SST) dijangka dikeluarkan pada pertengahan 2026. Kementerian berharap agar semua pihak termasuk JKR, pasukan projek serta kontraktor yang bakal dilantik dapat memberikan komitmen dan kerjasama sepenuhnya melalui perbincangan yang berterusan agar projek ini dapat disiapkan seperti spesifikasi, masa dan kos yang telah ditetapkan.
"Ini sejajar dengan objektif Program MYJalan untuk menyediakan rangkaian jalan raya berkualiti yang lebih selesa, selamat dan mampan bagi seluruh rakyat Malaysia selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, nilai ihsan dan kemampanan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami