KUALA LUMPUR: "Saya bersyukur kerana kebenaran akhirnya terbukti,".
Itu kata Tan Sri Azam Baki selepas kertas siasatan berhubung aduan yang dibuat oleh ahli perniagaan, Albert Tei terhadapnya bagi kes ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Azam berkata, keputusan tersebut sekali gus mengesahkan bahawa segala dakwaan yang dibuat terhadapnya sebelum ini tidak mempunyai asas kukuh dan bercanggah dengan fakta serta bukti yang diperoleh pihak berkuasa.
“Sebagai individu yang diamanahkan untuk memimpin SPRM ketika itu serta melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat, saya terpaksa bersabar berdepan pelbagai persepsi negatif yang timbul susulan tuduhan berkenaan.
“Walaupun saya mempertahankan diri, terdapat pihak-pihak tertentu yang sememangnya bersikap anti terhadap saya dan SPRM yang tidak mahu menerima penjelasan tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu berkata, semua pegawai penguat kuasa diseru agar tidak gentar atau khuatir dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan di negara ini walaupun berdepan dengan tohmahan.
Jelasnya, pegawai penguat kuasa perlu berani membuat keputusan berdasarkan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang.
“Jangan sesekali takut untuk bertindak hanya kerana berdepan tuduhan atau serangan persepsi daripada pihak yang mempunyai kepentingan tertentu,” jelasnya.
Tambah Azam, dakwaan yang dikemukakan terhadapnya dipercayai didalangi oleh pihak tertentu yang bertujuan memburukkan imej agensi penguat kuasa, kerajaan dan dirinya secara peribadi.
“Bagaimanapun, saya tidak mempunyai masalah untuk menerima kecaman dan kritikan pada peringkat awal kerana saya tidak gusar dengan apa yang berlaku,” ujarnya.
Kata Azam, beliau berada di pihak yang benar dan perkara yang berlaku ini seharusnya menjadi pengajaran kepada pegawai penguat kuasa supaya terus menjalankan tugas dengan penuh integriti tanpa dipengaruhi tekanan atau kempen persepsi yang boleh melemahkan usaha penguatkuasaan undang-undang.
Pada Rabu, Jabatan Peguam Negara (AGC) menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa keputusan NFA itu dibuat selepas penelitian terhadap kertas siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati elemen kesalahan berkenaan tidak dapat dibuktikan.
Albert sebelum ini mendakwa Azam mengugut dan menghalang ketika dia cuba mendedahkan dakwaan rasuah yang kononnya membabitkan beberapa ahli politik berprofil tinggi di Sabah tahun lalu.
Susulan itu, Azam turut menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama penuh kepada polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berkenaan.
Dalam membantu siasatan polis, Azam telah hadir ke Bukit Aman 3 Jun lalu untuk dirakam keterangan oleh pegawai penyiasat daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman. - Sinar Harian