KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman sebagai Ketua Eksekutif yang baharu berkuat kuasa 15 Jun.

Beliau mengambil alih teraju LTAT daripada Datuk Seri Amrin Awaluddin yang meletakkan jawatan pada 30 April lalu untuk berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji yang baharu.

Pengerusi LTAT Jeneral (Bersara) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin berkata, pihaknya mengalu-alukan kedatangan Ahmad Nazim menerajui organisasi itu.

"Ahmad Nazim akan memainkan peranan yang penting dalam menerajui inisiatif transformasi serta memacu halatuju LTAT sebagai sebuah dana persaraan yang mampan dan berdaya saing.

"Kami juga amat yakin pengalaman luas beliau sebelum ini dalam sektor korporat dan pelaburan di beberapa pusat kewangan terkemuka dunia akan membawa perspektif baru bagi menjayakan pelaksanaan strategi transformasi bagi LTAT," kata Mohd Zahidi dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Nazim mempunyai pengalaman profesional selama 20 tahun dalam bidang pengurusan korporat, kewangan korporat dan pelaburan.

Sebelum berkhidmat dengan LTAT, beliau bertugas sebagai Pengarah Urusan bagi rantau Asia Tenggara bersama firma pelaburan dan penasihat, Allied Investment Partners yang beroperasi dari Singapura dan Emiriyah Arab Bersatu.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan MARA Berhad dari 2013 hingga 2018 serta merupakan ahli Lembaga perintis National Bank of Abu Dhabi (Malaysia) Berhad.

Selain peranan eksekutif, Ahmad Nazim juga berkhidmat sebagai ahli lembaga beberapa institusi kewangan, syarikat tersenarai dan agensi awam.

Beliau kini merupakan Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Tenaga, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Omesti Berhad dan Regulus Advisors Pte Ltd, sebuah dana ekuiti persendirian yang berpusat di Singapura.

Ahmad Nazim memperolehi sarjana bidang ekonomi dan polisi awam di Sciences Po di Perancis dan merupakan pemegang anugerah J William Fulbright di Georgetown University, Amerika Syarikat, di mana beliau memperolehi Sarjana Undang-undang.

Beliau juga adalah graduan Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Seorang yang aktif dalam penulisan, Ahmad Nazim merupakan kolumnis akhbar The Edge Malaysia, di mana beliau banyak menyuarakan pandangan tentang hal ehwal ekonomi dan kaitannya dengan masyarakat.

Dalam kenyataan itu juga, Mohd Zahidi dan ahli Lembaga LTAT merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Pegawai Kewangan, Mohammad Ashraf Md Radzi, atas kepimpinan serta sumbangannya ketika menanggung tugas sebagai Ketua Eksekutif sejak 3 Mei lalu selepas Amrin meletakkan jawatan.