MEDAN, INDONESIA: Penggunaan teknologi secara inklusif mampu memperluas akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan, membuka lebih banyak peluang ekonomi serta memperkasa kemahiran dan potensi generasi muda.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, teknologi perlu dimanfaatkan sebagai pemudah cara untuk memperluas peluang khususnya kepada golongan muda, asnaf dan komuniti yang kurang mendapat perhatian.
Menurut baginda, hubungan antara institusi dan negara juga perlu diterjemahkan melalui penyelidikan bersama, perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi serta pembangunan bakat bagi memastikan ilmu dan kepakaran yang dimiliki dapat menghasilkan nilai dan impak nyata kepada masyarakat.
Dalam pada itu, baginda bertitah kecerdasan buatan (AI) kini semakin mempengaruhi pelbagai sektor termasuk pendidikan, kesihatan, ekonomi dan perkhidmatan awam, seiring kemajuan teknologi yang pesat.
“Namun, kemajuan teknologi tidak seharusnya diukur berdasarkan tahap kecanggihannya semata-mata. Pembangunan AI perlu sentiasa berpandukan etika, nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan International Conference on Next-Generation Digital Technologies (NEXT-D) 2026 di Auditorium Kampus Utama, Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), di sini, pada Ahad.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri kedua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Rektor UMSU, Prof Dr Akrim, manakala Penasihat Persidangan NEXT-D yang juga Pengerusi Eksekutif Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE), Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin turut hadir.
Persidangan selama tiga hari bermula 12 hingga 14 September itu dianjurkan bersama oleh UMSU dan FCoEE dengan mengangkat tema “Transforming The Digital Landscape With Emerging Technologies”.
Program berkenaan memberi tumpuan kepada peranan teknologi termaju dalam membentuk dan memacu transformasi landskap digital global, selain menjadi platform perkongsian ilmu, penyelidikan dan kepakaran antara akademia, industri serta pemegang taruh dari pelbagai negara.
Lebih 200 pakar global, ahli akademik dan penggiat industri dari Malaysia, Thailand, Brunei, Korea Selatan, India, Arab Saudi serta beberapa negara lain menyertai persidangan itu bagi membincangkan perkembangan serta hala tuju inovasi teknologi masa hadapan.
Semua kertas kerja yang diterima dan dibentangkan sepanjang persidangan akan diterbitkan dalam Proceeding on Next-Generation Digital Technologies 2026, manakala penyertaan terbaik berpeluang dicalonkan untuk penerbitan dalam jurnal berindeks terkemuka termasuk Scopus, Web of Science (WoS) dan MyCite.
Penganjuran NEXT-D 2026 mencerminkan komitmen berterusan institusi pendidikan tinggi dari Malaysia dan Indonesia dalam memperkukuh jaringan akademik serta kerjasama rentas sempadan, khususnya dalam bidang teknologi digital dan inovasi.
Kerjasama sedemikian diyakini mampu memperkukuh ekosistem digital yang bukan sahaja inovatif dan berdaya saing, malah berteraskan etika, keterangkuman serta manfaat kepada masyarakat sejagat.