KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menyediakan 11 lori tangki dan 14 lori air kontrak untuk membekalkan air bersih di kawasan terjejas atau terputus bekalan pada perayaan Aidilfitri tahun ini.
AKSB dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu sebagai pelan kesiapsiagaan melibatkan kesemua jajahan bagi memaksimumkan keupayaaan proses pembekalan air bersih semasa musim perayaan.
Advertisement
“Pengeluaran air semasa di semua loji rawatan air (LRA) ialah 531 juta liter sehari (JLH) dan unjuran permintaan bekalan air semasa musim perayaan meningkat kepada 584 JLH.
“Jangkaan waktu puncak penggunaan atau permintaan air yang tinggi dari 20 hingga 23 Mac,” menurut kenyataan itu.
AKSB memaklumkan sebanyak 43 LRA beroperasi di seluruh jajahan bagi membekalkan air bersih kepada 269,338 akaun pengguna.
Selain itu, AKSB menyediakan 14 pasukan pembaikan paip bocor dan 12 pasukan pembaikan kontraktor serta satu pasukan utama diketuai pengurus jajahan.
AKSB memaklumkan operasi talian aduan (PINTAS) 15777 dibuka dari 19 hingga 23 Mac, 8 pagi hingga 10 malam.
-- BERNAMA